Bank Pembangunan komited capai matlamat perbankan mampan | DagangNews Skip to main content

Bank Pembangunan komited capai matlamat perbankan mampan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Jun - Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) menjadi salah satu organisasi bank Islam yang dinilai dalam laporan Perbankan Islam dan Prinsip Bagi Perbankan Bertanggungjawab. 

 

Laporan itu dilancarkan oleh Majlis Perbankan Islam United Kingdom (UKIFC) dengan kerjasama Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa untuk Kewangan Islam (ISRA) yang berpangkalan di Malaysia dan Inisiatif Kewangan Etika Global (GEFI), semalam. 

 

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB, Arshad Mohamed Ismail berkata, penilaian ke atas kumpulan yang seterusnya dimasukkan ke dalam laporan itu membuktikan komitmen bank tersebut untuk melaksanakan Prinsip UNEP FI bagi aspek perbankan bertanggungjawab. 

 

Arshad Mohamed Ismail
Arshad Mohamed Ismail

 

“Ini sejajar dengan fokus kami untuk menyokong perkembangan negara menerusi digitalisasi, kemampanan dan keterangkuman. 

 

“Sebagai sektor agnostik, kami akan terus menilai projek kami dan memastikannya memberi impak secara positif kepada masyarakat, persekitaran dan pembangunan negara,” jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Terbitan tersebut merupakan laporan ketiga dalam siri pemikiran kepemimpinan empat bahagian yang bertujuan membantu dan mendorong penglibatan aktif untuk menyokong Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) oleh sektor kewangan Islam global.

 

Penasihat Kanan UKIFC, Sultan Choudhury secara rasmi telah mengumumkan terbitan laporan tersebut di hadapan lebih 3,000 pengamal kewangan, di Sidang Kemuncak Etika Kewangan tahunan GEFI.

 

Laporan itu menyediakan analisis berhubung perbankan bertanggungjawab dalam sektor perbankan Islam, menilai tahap penglibatan bank-bank di negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dengan Prinsip Perbankan Bertanggungjawab (PRB). 

 

Di samping itu, turut dinilai pendekatan yang digunakan oleh sembilan penandatangan kewangan Islam. 

 

Sebagai rekod, BPMB menjadi penandatangan PRB pada Mei 2020. 

 

Jelas BPMB, komitmen tersebut merupakan sebahagian daripada rancangan transformasi strategik tiga tahun yang bakal menyaksikan bank memberi tumpuan dalam impak yang berterusan kepada ekonomi, masyarakat dan alam sekitar. - DagangNews.com