TAIPING 2 Ogos - Bas elektrik elektrik Majlis Perbandaran Taiping (EV Bas MPT) kini memulakan operasi secara rasmi apabila membuka tiket tempahan kepada orang ramai.
Diskaun sebanyak 30 peratus diberikan kepada penumpang sehingga penghujung Disember ini.
Tempahan tiket bas EV ini boleh didapati di kaunter tiket Zoo Taiping dan Night Safari.
Yang Dipertua MPT, Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, harga tiket ditetapkan RM20 bagi dewasa manakala RM10 dikenakan bagi warga emas, pelajar, kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU).
Katanya, dengan pengurangan itu memberikan potongan harga antara RM3 hingga RM6 mengikut kategori penumpang.
“EV Bas MPT melibatkan laluan Jejak Warisan di sekitar Bandar Taiping sejauh 11.5 kilometer (km). Ia beroperasi setiap hari termasuk hujung minggu.
"Tiga kali perjalanan disediakan sehari iaitu bermula pukul 9 dan 11.30 pagi serta 3 petang,” ujarnya.
Setiap perjalanan mengambil masa selama satu jam 21 minit dengan 22 penumpang termasuk OKU.
Khairul Amir berkata, perjalanan EV Bas MPT bermula di Zoo Taiping dan Night Safari dan berhenti rehat selama 10 minit di tiga tempat iaitu di Raintree Walk, Menara Jam dan Galeri Perbandaran Taiping.
Pada Mei lalu, EV Bus MPT beroperasi bagi tempoh percubaan selama tiga bulan..
EV Bus yang mempunyai kapasiti 22 penumpang, 1 OKU merupakan inisiatif beberapa syarikat tempatan dan luar negara sejak tahun 2015.
Bas ini menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya dan disumbangkan oleh Kerajaan Jepun melalui Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA).
Pelancaran EV Bus MPT diharap melonjakkan industri pelancongan di Taiping Bandar Warisan sekali gus menyambut 150 ulang tahun Bandar Taiping pada tahun hadapan.
Tahun hadapan juga merupakan sambutan Tahun Melawat Perak 2024. - DagangNews.com