Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 4 Okt. - Pembatalan perjanjian usaha sama (JVA) dengan Gabungan AQRS Berhad (Gabungan AQRS) dijangka mengurangkan kedudukan baki tunai Suria Capital Holdings Berhad (Suria) daripada ‘dana kecemasan’ kumpulan.
Situasi ini seterusnya dijangka menyebabkan kemerosotan dari segi margin pendapatan faedah Suria Capital, menurut penganalisis di Malacca Securities Sdn Bhd, Kenneth Leong.
“Berdasarkan keadaan itu, kami menjangkakan penyusutan pendapatan bersih sebanyak 0.2% dan 0.9%, masing-masing untuk tahun kewangan 2021 (FY21) dan FY22.
“Walaupun kami belum mengambil kira sebarang potensi sumbangan daripada JVA itu, namun tiada impak besar ke atas unjuran kami,” kata Leong dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
Suria Capital dan Gabungan AQRS ‘sebulat suara’ mahu membatalkan JVA berhubung pembangunan projek One Jesselton Waterfront.
Pembatalan itu disebabkan oleh ketidaktentuan daripada pandemik COVID-19 yang menjejaskan sektor pembinaan dan pelancongan di Sabah.
Pada 16 Mac 2015, Suria Capital dan Gabungan AQRS telah memeterai JVA untuk projek pembangunan hartanah bercampur yang terletak di Kota Kinabalu, Sabah iaitu One Jesselton Waterfront.
Berdasarkan perjanjian pembatalan tersebut, Suria Capital perlu membayar balik pembayaran awal yang telah dilakukan oleh Gabungan AQRS.
“Kami mendapati, Suria Capital perlu membayar sejumlah RM7.9 juta sebagai bayaran balik kepada Gabungan AQRS. Ini melibatkan deposit yang dibayar oleh Gabungan AQRS semasa menandatangani JVA itu bernlai RM2.0 juta dan perlu dibayar dalam tempoh 14 hari daripada perjanjian pembatalan tersebut.
“...dan Cukai Keuntungan Hartanah (RPGT) yang dibayar terlebih dahulu oleh Gabungan AQRS bernilai RM5.9 juta dan perlu dibayar dalam tempoh enam bulan daripada tarikh perjanjian pembatalan itu,” tambah Leong.
Mengambil kira semakan semula margin dalam unjuran perolehan Suria Capital, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan ‘pegang’ ke atas saham kumpulan dengan harga sasaran (TP) ditingkatkan kepada RM1.28 daripada RM1.10. - DagangNews.com