Batik Air perkenal tambang penerbangan lebih murah tanpa bagasi bagi laluan domestik, ASEAN bermula Jun 2024 | DagangNews Skip to main content

Batik Air perkenal tambang penerbangan lebih murah tanpa bagasi bagi laluan domestik, ASEAN bermula Jun 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 April - Batik Air memperkenalkan tambang baharu penerbangan dengan pilihan daftar masuk tanpa bagasi pada harga yang lebih murah.

 

Tambang yang disemak semula itu hanya terpakai untuk laluan domestik dan ASEAN bagi tempahan bermula 1 Mei, dengan tarikh penerbangan bermula 1 Jun 2024.

 

Menerusi tambang baharu itu, penumpang yang memilih Kelas Ekonomi Super Jimat kini akan menikmati fleksibiliti dan pilihan sama ada untuk membeli jumlah berat bagasi atau perjalanan tanpa bagasi, memberi mereka pilihan untuk mengembara dengan mudah.

 

Penumpangboleh membuat pra pembelian jumlah berat bagasi di laman web Batik Air untuk kadar yang lebih rendah semasa menempah penerbangan mereka, atau di kaunter daftar masuk lapangan terbang pada harga standard semasa daftar masuk.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, pihaknya mengiktiraf perubahan keperluan pengembara udara, terutamanya dalam pasaran domestik dan ASEAN.

 

Beliau berkata, semakan itu bertujuan untuk menawarkan pelanggan dengan fleksibiliti untuk perjalanan jarak dekat, membolehkan mereka mendapat manfaat daripada tambang penerbangan yang lebih rendah tanpa dibebani dengan kos yang tidak perlu.

 

"Pada masa sama, pilihan pra pembelian bagasi yang ditawarkan pada harga yang berpatutan membolehkan pengembara menyesuaikan rancangan perjalanan dan mengurus pilihan semasa proses tempahan mereka di laman web Batik Air. 

 

"Dengan pelaksanaan tambang baharu ini, kami menyasarkan untuk menjadikan perjalanan udara bersama kami lebih berpatutan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, penumpang yang memilih tambang Kelas Ekonomi Nilai layak mendapat berat bagasi percuma 10kg manakala tambang Kelas Ekonomi Fleksi akan mendapat manfaat daripada berat bagasi percuma 20kg.

 

Batik Air komited meningkatkan pengalaman perjalanan keseluruhan untuk penumpangnya melalui penglibatan berterusan dengan pelanggan kami dan pasaran untuk memenuhi pilihan dan keperluan yang berubah-ubah. - DagangNews.com