Bayaran sagu hati sukarelawan di PPV OKU turut dinaikkan - PM | DagangNews Skip to main content

Bayaran sagu hati sukarelawan di PPV OKU turut dinaikkan - PM

 Muhyiddin ketika menyantuni komuniti OKU yang mendapatkan vaksinasi di PPV pandu lalu di Ara Damansara.

Muhyiddin ketika menyantuni komuniti OKU yang mendapatkan vaksinasi di PPV pandu lalu di Ara Damansara.

 

KUALA LUMPUR 24 Jun - Bayaran sagu hati kepada sukarelawan kesihatan yang terbabit dalam proses vaksinasi dan pengurusan COVID-19 yang melibatkan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) turut dinaikkan.

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, hingga kini terdapat kira-kira 100 orang sukarelawan yang membantu memastikan kelancaran proses vaksinasi dan pengurusan COVID-19 melibatkan golongan OKU.

 

"(Pertambahan) bayaran ini dari RM50 sehari ke RM100 sehari juga kita berikan kepada sukarelawan OKU yang kini kira-kira 100 orang dan jumlah (sukarelawan) ini mungkin bertambah," katanya seperti dilapor Bernama.

 

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) pandu lalu OKU Sentral di Menara Sime Darby Plantation, hari ini.

 

Turut hadir, Pengerusi OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

 

Terdahulu, sukarelawan kesihatan yang terbabit dalam proses vaksinasi dan pengurusan COVID-19 diberi bayaran RM50 sehari.

 

Muhyiddin pada 22 Jun baru-baru ini mengumumkan untuk meningkatkan jumlah bayaran tersebut kepada RM100 sehari sebagai tanda pengiktirafan kerajaan terhadap sumbangan sukarelawan. 

 

Bayaran sagu hati itu turut diperluaskan kepada sukarelawan kesihatan yang bertugas di lapangan selain daripada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seperti di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Risiko Rendah (PKRC). - DagangNews.com