BCorp rancang jadikan Berjaya Land syarikat persendirian, lupus Berjaya Toto | DagangNews Skip to main content

BCorp rancang jadikan Berjaya Land syarikat persendirian, lupus Berjaya Toto

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 15 Julai - Berjaya Corporation Bhd. (BCorp) merancang untuk menjadikan Berjaya Land Bhd sebagai syarikat persendirian sebagai sebahagian daripada program tranformasinya.

 

Pada masa sama, kumpulan turut berhasrat untuk melupuskan pegangan dalam Berjaya Sports Toto Bhd. 

 

Sebulan lalu, konglomerat itu mengumumkan Pelan Transformasi Strategik BCorp untuk tempoh 3 tahun dari 2021-2024 yang akan menyaksikan 5 segmen perniagaannya akan disusun semula kepada peruncitan, makanan dan minuman, hartanah, hospitaliti dan perkhidmatan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Abdul Jalil Abdul Rasheed berkata, bagaimanapun, ia tidak mempunyai tempoh tertentu yang ditetapkan bagi menjadikan Berjaya Land sebagai syarikat persendirian.

 

"Ia bergantung kepada elemen pendanaan termasuk kemampuan kewangan untuk menyahsenarai syarikat ini daripada papan utama. 

 

"Tetapi, sama ada wang itu lebih baik dibelanjakan untuk membawanya keluar dari pasaran atau menyalurkannya di tempat lain, ini adalah satu keputusan yang sukar," katanya.

 

 

MIDF webinar

 

 

Beliau berkata demikian dalam sesi webinar anjuran MIDF dihoskan Pengarah Urusannya, Datuk Charon Wardini Mokhzani yang turut dihadiri 400 peserta secara maya hari ini.

 

BCorp memiliki kepentingan dalam 7 entiti yang disenaraikan di Bursa Malaysia termasuk Singapura Informatics Education Ltd. dan Berjaya Philippines Inc. 

 

Mengenai Berjaya Toto, beliau berkata, kumpulan bersedia untuk melupuskan pegangannya pada harga yang sesuai. 

 

"Perniagaan ini bukanlah penyumbang utama kepada pendapatan kumpulan dan dengan langkah ini kami boleh mendapat semula pulangan tunai apabila dilupuskan," katanya.

 

Menerusi pelan transformasi itu juga BCorp bercadang untuk melupuskan beberapa asetnya bernilai RM2 bilion dalam tempoh 2 tahun dan RM5 bilion dalam tempoh 5 tahun.

 

Langkah itu adalah bagi mengurangkan separuh hutangnya kepada RM2.5 bilion daripada RM5 bilion ketika ini dalam tempoh 3 tahun.

 

Bagaimanapun, pengumuman pelan itu dilihat tidak mampu menyokong kenaikan harga saham Bcorp. yang diniagakan rendah ketika ini.

 

Setakat 3.47 petang ini, sahamnya menokok 3.85% kepada 27 sen dengan 29.5 juta saham diniagakan.

 

Mengenai harga sahamnya, Abdul Jalil Abdul Rasheed juga mengakui kedudukan harga saham syarikat itu kini berada 'di bawah nilai'. 

 

"Saya sentiasa mengingatkan BCorp perlu berhenti membeli aset dan perlu menyepadukan aset sedia ada daripada cuba membuat banyak perkara dalam satu-satu masa.

 

"Ini kerana persepsi umum mengatakan bahawa kami mempunyai aset-aset yang bagus dan ini tidak diterjemahkan dengan harga nilai saham atas sebab-sebab tertentu," katanya. 

 

Abdul Jalil turut menjelaskan bahawa penglibatannya dalam BCorp bukan keputusan yang dibuat secara mengejut, sebaliknya beliau telah menjadi penasihat kepada Tan Sri Vincent Tan selama 8 bulan sebelum itu.

 

"Ini memberi kelebihan kepada saya untuk mengetahui selok-belok syarikat dengan lebih mendalam apabila diberi peluang memikul tanggungjawab sebagai CEO," katanya. - DagangNews.com