KUALA LUMPUR 5 Julai - Kenanga Research menjangkakan bekalan aluminium terus mencatatkan pengurangan berikutan penutupan beberapa kilang akibat pencemaran selain sekatan terhadap aluminium Rusia.
Firma itu menjangkakan harga aluminium akan stabil pada paras semasa.
Katanya, walaupun China telah mengambil langkah untuk menstabilkan pasaran hartanahnya, permintaan untuk aluminium masih belum meningkat dengan ketara.
"Kami juga mendapati bahawa pelebur aluminium di China tidak meningkatkan pengeluarannya walaupun China dibuka semula dan pengurangan kos bahan api.
"Sementara itu, kekangan bekalan akan berterusan dengan penutupan pelebur berkuasa bahan api fosil (terutama arang batu) disebabkan oleh keperluan alam sekitar yang ketat ditambah dengan sekatan Barat terhadap aluminium Rusia," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata harga purata aluminium LME adalah AS$2,347/MT, iaitu 1% lebih rendah daripada AS$2,364/MT pada separuh kedua 2022.
Firma itu berkata, harga keluli berkemungkinan kekal dalam keadaan lemah tanpa adanya rangsangan yang ketara dan pasaran hartanah yang lemah di China.
"Kami mendapati bahawa pelancaran projek infrastruktur berskala besar dan peningkatan yang lebih bermakna dalam sektor hartanah di China berkemungkinan besar akan menjadi kenyataan menjelang akhir tahun 2023.
"Pada Mei, harga keluli panjang tempatan merosot kepada RM2,911/tan manakala harga keluli rata tempatan menurun kepada RM3,670/tan di tengah-tengah pemulihan permintaan yang perlahan dan lebihan pengeluaran di China," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor itu. - DagangNews.com