KUALA TERENGGANU 27 Nov - MSET Inflatable and Composite Corporation Sdn Bhd, sebuah syarikat pembinaan dan baik pulih kapal milik Bumiputera kini mendapat kepercayaan daripada agensi penguatkuasaan maritim negara.
Terbaharu, syarikat itu berjaya menyiapkan pembinaan sebanyak 10 unit bot peronda laju bernilai RM15 juta untuk kegunaan Jabatan Perikanan Malaysia.
Pengurus Besarnya, Nik Adib Nik Abdullah berkata, bot peronda itu dibina dari bahan aluminium tahan lasak dengan ukuran panjang 13 meter dan kelebaran 3.5 meter.
Menurutnya, ia dilengkapi tiga buah enjin sangkut empat lejang berkuasa kuda 300HP setiap satu bagi meningkatkan keupayaan dan kecekapan rondaan di lautan.
"Bot yang dibina juga dilengkapi dengan peralatan elektronik seperti sistem kedudukan global (GPS), radar, alat menentukan kedalaman air (echosounder) dan sistem komunikasi yang canggih.
"Selain itu, bot peronda ini juga dilengkapi dengan bilik jurumudi berhawa dingin bagi keselesaan anggota yang bertugas," katanya kepada DagangNews.com hari ini.
Daripada 10 bot peronda laju yang berjaya disiapkan itu, tiga akan digunakan oleh Jabatan Perikanan di negeri Johor, dua di Perak, dua di Pulau Pinang dan masing-masing satu di Kedah, Melaka serta Kelantan.
Tambahnya, bot itu juga berupaya mencapai kelajuan kira-kira 42 Knots yang bersesuaian untuk kerja-kerja operasi di lautan.
"Sejak awal penubuhan, syarikat telah berkongsi kepakaran dalam kejuruteraan pembinaan bot dan berurusan dengan banyak agensi penguatkuasaan di seluruh negara.
"Antara yang pernah membuat tempahan dengan syarikat ialah Tentera Laut Diraja Malaysia, Agensi Penguasaan Maritim Malaysia, Jabatan Laut, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Perikanan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia," katanya.
Menurut beliau, syarikat sangat berbangga kerana diberi kepercayaan dalam membina bot baharu itu dan berharap ia akan meningkatkan lagi kecekapan operasi Jabatan Perikanan dalam membanteras pelbagai kesalahan di perairan negara.
"Kami akan terus meningkatkan kemahiran kejuruteraan pembinaan kapal serta bot peronda untuk terus unggul dalam industri ini.
"Pada masa sama, akan mempelbagaikan perkhidmatan termasuk untuk nelayan laut dalam yang mahu meningkatkan hasil tangkapan mereka," katanya. - DagangNews.com