Bekalan minyak sawit dijangka pulih suku kedua ini - Firma | DagangNews Skip to main content

Bekalan minyak sawit dijangka pulih suku kedua ini - Firma

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Mei - Pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) pada April 2021 meningkat 1.52 juta tan metrik manakala eksport berkembang 12.5%, berdasarkan kaji selidik ke atas minyak sawit yang dijalankan CGS-CIMB Futures.

 

Data rasmi akan dikeluarkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia, 10 Mei ini.

 

CGS-CIMB menganggarkan inventori minyak sawit meningkat 1.8% bulan ke bulan tetapi menyusut 28% tahun ke tahun ke 1.47 juta tan metrik setakat akhir April 2021.

 

Kaji selidik firma itu mendapati, ladang sawit di Sabah merekodkan peningkatan hasil yang kukuh pada April.

 

Meskipun pengeluaran semakin meningkat tetapi ia masih belum mencapai paras pada 2020, tambahnya.

 

"Apa yang membimbangkan, pengeluaran minyak sawit di negara ini dilihat mendatar terutama disebabkan kekurangan tenaga buruh memandangkan pengambilan pekerja masih dibekukan sejak Mac 2020 ekoran pandemik COVID-19.

 

"Dalam masa sama, penanaman semula yang perlahan dengan lebih banyak pokok sawit yang kurang mengeluarkan hasil turut menyumbang bekalan minyak sawit yang mendatar ini," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Dari segi eksport pula, firma itu menjangkakan ia akan berkembang 12.5% bulan ke bulan dan 8% tahun ke tahun kepada 1.33 juta tan metrik berikutan permintaan kukuh dari India, China dan Afrika Selatan. 

 

Minyak sawit memperoleh permintaan tinggi berikutan harga yang lebih rendah berbanding minyak kacang soya pada AS$357 satu tan metrik (berbanding harga purata 5 tahun hampir AS$122 satu tan metrik) dan juga sambutan Hari Raya pada pertengahan Mei ini. 

 

"Bagaimanapun, situasi penularan wabak COVID-19 yang semakin buruk di India boleh mengurangkan permintaan jika langkah sekatan semakain diperketatkan di negara tersebut," jelasnya. 

 

CGS-CIMB mengunjurkan harga MSM pada Mei, kekal kukuh sekitar RM3,500 hingga RM4,200 satu tan metrik di tengah-tengah paras inventori yang rendah bagi minyak boleh dimakan yang akan mengambil masa untuk kembali meningkat. 

 

Katanya, harga purata MSM pada April telah meningkat 4% bulan ke bulan dan 84% tahun ke tahun kepada RM4,220 satu tan metrik, merekodkan paras bulanan tertinggi berikutan lonjakan persaingan harga minyak boleh dimakan.

 

"Untuk itu, kami mengekalkan pandangan bekalan MSM akan pulih suku kedua ini sekiranya keadaan cuaca kembali normal," tambahnya. 

 

Bagaimanapun, firma itu mengekalkan unjuran harga purata MSM bagi tahun ini dan 2022 pada RM2,900 dan RM2,700 satu tan metrik. - DagangNews.com