Belanjawan 2021 positif untuk sektor pembinaan - CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

Belanjawan 2021 positif untuk sektor pembinaan - CGS-CIMB

Sektor pembinaan

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH 
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 9 Nov. - Peruntukan Belanjawan 2021 yang dibentang minggu lalu memberi khabar dan perkembangan positif kepada sektor pembinaan negara.

CGS-CIMB Research berkata, perkara tersebut dinilai seiring dengan ramalan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 13.9% pada 2021.

 

Berikut adalah lima perkara yang menjadi penilaian positif oleh CGS-CIMB Research;

  • Peruntukan besar diberi untuk kontrak infrastruktur utama yang sedang dibangunkan untuk pemulihan daripada kesan negatif COVID-19
  • Jumlah peruntukan besar untuk projek-projek baharu meskipun terdapat kontrak yang dialihkan kepada pakej berskala kecil hingga sederhana
  • Sabah dan Sarawak menerima peruntukan kedua terbesar
  • Peruntukan diberikan untuk membantu kontraktor G1-G4 (Keupayaan menender tidak melebihi RM3 juta)
  • Pelbagai projek perumahan dan bangunan diumumkan 

 

Kementerian Kewangan juga meramalkan pertumbuhan KDNK untuk sektor pembinaan adalah sebanyak 13.9% berbanding -18.7% pada 2020.

Jelas CGS-CIMB Research, peruntukan sebanyak RM15 bilion untuk melaksanakan projek infrastruktur pengangkutan dilihat menjadi pendorong untuk merialisasikan ramalan tersebut.

Dalam Belanjawan 2021, peruntukan RM15 bilion itu disediakan  bagi membiayai antaranya projek Lebuhraya Pan
Borneo, Landasan Berkembar Elektrik Gemas - Johor Bahru dan Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa Pertama. 

Selain itu, beberapa projek lain juga akan diteruskan seperti Sistem Transit Rapid dari Johor Bahru ke Woodland, Singapura dan MRT3 di Lembah Klang.

Kerajaan juga berhasrat untuk meneruskan projek High Speed Rail (HSR), namun perkara tersebut tertakluk kepada perbincangan lanjut dengan Singapura.

Menilai kepada Belanjawan 2021, CGS-CIMB Research masih mengekalkan saranan 'neutral' saham sektor pembinaan sementara menunggu laporan lanjut berkaitan dengan projek Transit Aliran Massa Lembah Klang Laluan 3 (KVMRT3) dan HSR.

"Kami tetap sarankan 'neutral' untuk sektor pembinaan sementara menunggu labih banyak perkembangan KVMRT3 dan HSR.

"Kami percaya bahawa sentimen terhadap kereta api terpilih akan meningkat," jelas CGS-CIMB Research lagi. - DagangNews.com