Belanjawan 2021, Presiden AS rangsang pasaran minggu lalu | DagangNews Skip to main content

Belanjawan 2021, Presiden AS rangsang pasaran minggu lalu

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 


KUALA LUMPUR 10 Nov. - Pembentangan Belanjawan 2021 dan keputusan pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) yang sengit, Jumaat lalu menjadi antara faktor mendorong peningkatan purata dagangan harian dalam ekuiti Malaysia.

Bagaimanapun, ia tidak mencukupi untuk mengimbangi aktiviti dagangan yang rendah pada awal minggu. 

Penganalisis CGS-CIMB, Ivy Ng berkata, pada minggu berakhir 6 November itu, pelabur asing muncul pembeli bersih terbesar sebanyak RM115.2 juta ekuiti berbanding RM190.1 juta, yang direkodkan 2 minggu lalu.

Saham-saham berkaitan penjagaan kesihatan, teknologi, telekomunikasi dan perladangan menjadi pilihan pelabur asing. 

Tiga pilihan pembelian bersih saham adalah Supermax, Hartalega dan Bursa Malaysia. 

Pada minggu lalu, nilai purata dagangan harian pula jatuh untuk minggu ketiga berturut-turut sebanyak 8% minggu ke minggu. 

"Tetapi jumlah purata dagangan meningkat 29% minggu ke minggu kepada 6.9 bilion minggu lalu. 

"Ini memandangkan terdapat minat pembelian terhadap saham-saham bernilai rendah minggu lalu," katanya dalam laporan analisis aliran dana mingguan Malaysia hari ini. 

Nilai dagangan pelabur runcit pula meningkat 36.8% minggu lalu berbanding 35% minggu sebelumnya manakala pelabur institusi meningkat 23.8% berbanding 27%. 

Pelabur hak milik bagaimanapun menurun sedikit, 19.4% berbanding 19.7% minggu sebelumnya dan penama pula tidak berubah, 18.2%. 

Pembelian bersih pelabur runcit menyusut 84% minggu ke minggu apabila mereka terus meraih keuntungan dalam saham pengeluar sarung tangan getah. 

"Minggu lalu, pelabur institusi muncul penjual terbesar memandangkan mereka mengambil keuntungan atas kedudukan yang sama. 

"Mereka menjadi pembeli bersih saham pengeluar sarung tangan getah dan penjual bersih bagi saham kewangan dan perladangan," katanya. 

Setakat ini, pelabur institusi merupakan pembeli bersih saham Public Bank dan Tenaga Nasional manakala pelabur asing adalah penjual utama kedua-dua saham ini. - DagangNews.com