BELANJAWAN 2021: Skim jaminan pekerjaan jadi keperluan | DagangNews Skip to main content

BELANJAWAN 2021: Skim jaminan pekerjaan jadi keperluan

Pengangguran

KUALA LUMPUR 6 Nov. - Jumlah individu hilang pekerjaan melonjak hampir 750,000 orang sejak penularan COVID-19.

Lebih membimbangkan apabila kadar pengangguran dalam kalangan anak muda berada pada kadar 12%.

Menyedari kemelut berkenaan, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan tampil mencadangkan skim jaminan pekerjaan bagi membantu menyelesaikan isu kekurangan peluang pekerjaan di negara ini.

Jelasnya, skim tersebut perlu dibawa dan dibentangkan dalam Belanjawan 2021 demi kepentingan anak muda dan ekonomi negara.

"Saya kira dua punca yang menjadi kesakitan dan kesusahan ekonomi rakyat hari ini adalah kekurangan peluang pekerjaan dan gaji yang tidak setimpal. Itu yang saya harapkan akan menjadi fokus utama dalam Belanjawan 2021.

"Saya sudah mencapai satu keputusan bahawa negara seperti Malaysia boleh dan sewajarnya melakukan satu skim jaminan kerja atau 'job bank' di mana sesiapa yang nak kerja boleh ditawarkan pekerjaan yang dibiayai oleh kerajaan persekutuan.

"Bagi saya itu adalah satu transisi yang radikal dalam sistem ekonomi kita dan saya berharap kalau tak dapat dilaksanakan 100% pun, tetapi bibit-bibit permulaan ke arah satu ekonomi rakyat yang lebih radikal dapat dimulakan," jelasnya dalam wawancara Agenda Awani seperti yang dimuat naik di laman Facebooknya hari ini.

 

Shahril Hamdan
Shahril Hamdan

 

Ditanya sekiranya idea tersebut disifatkan besar dan agak radikal untuk dijalankan secara total oleh kerajaan, beliau memberitahu, cadangan tersebut memang besar seiring dengan idea golongan muda yang lebih idealistik dan radikal.

Ujarnya, perkara yang lebih utama adalah kefahaman yang lebih jitu terhadap cadangan berkenaan.

"Bukannya kita nak mengambil alih sektor swasta, tidak.. tidak sama sekali. 

"Skim jaminan kerja ini adalah untuk kerja tambahan (supplement kerja) yang tidak boleh diisi oleh sektor swasta dan kita tidak ada masa yang lebih baik daripada sekarang untuk membuktikan bahawa pasaran swasta, pasaran bebas tidak akan mampu menjamin pengangguran sifar.

"Jadi, bagi saya, kita kena faham bahawa skim jaminan kerja ini mengisi kelompongan yang wujud dalam kalangan buruh swasta yang kita tidak nampak bila akan selesai, selepas COVID-19 pun akan sentiasa ada kelompongan yang boleh diisi oleh sektor awam," tegasnya lagi.

Mengulas lanjut, beliau menekankan bahawa sekarang adalah masa yang tepat untuk kerajaan mengambil satu peranan yang lebih langsung dan terus melalui cadangan berkenaan.

"Kita ubah sikit taktik kita, bukan hanya kita cuba bantu secara tidak langsung, tetapi kita bantu secara langsung, kita wujudkan peluang pekerjaan itu sendiri," ujarnya lagi. - DagangNews.com