Belanjawan 2024 tidak beri tumpuan khusus penyelesaian isu keterjaminan bekalan makanan - Muhyiddin | DagangNews Skip to main content

Belanjawan 2024 tidak beri tumpuan khusus penyelesaian isu keterjaminan bekalan makanan - Muhyiddin

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Okt - Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyuarakan kekecewaannya terhadap Belanjawan 2024 kerana ia tidak memberi tumpuan khusus bagi menyelesaikan isu keterjaminan bekalan makanan termasuk soal bekalan dan harga secara menyeluruh.

 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, daya pengeluaran makanan tempatan di Malaysia menghadapi cabaran serius akibat kadar pengeluaran domestik yang rendah. 

 

Ini mengakibatkan negara terpaksa bergantung kepada import bahan makanan dengan kos mencecah RM60 hingga RM70 bilion setiap tahun. 

 

Katanya, faktor itu mencetuskan kebimbangan terhadap risiko keterjaminan bekalan makanan dan tekanan kenaikan harga yang tidak munasabah di pasaran tempatan. 

 

"Bagaimana hendak meningkatkan pengeluaran beras tempatan supaya mencapai sasaran 70% tahap sara diri beras negara? Para peswah mesti diberikan sokongan dan insentif bagi menggandakan hasil pengeluaran padi dengan menambah peruntukan sebanyak RM1 bilion atau RM2 bilion lagi bagi tujuan ini.

 

expm
Tan Sri Muhyiddin Yassin

 

"Selain itu, tindakan kerajaan yang bersifat ad-hoc dalam menangani isu kekurangan bekalan beras tempatan di pasaran hanya memburukkan keadaan. 

 

"Bahkan agensi-agensi kerajaan juga seolah-olah tenggelam punca apabila tidak mendapat arahan yang jelas daripada kerajaan. Akhirnya FAMA yang tidak ada kena mengena dengan industri beras terpaksa mengedar beras kepada orang ramai," katanya ketika sesi perbahasan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.

 

Sementara itu, Muhyiddin berkata, Belanjawan 2024 mengesahkan masalah kekangan fiskal yang dihadapi oleh kerajaan selain langkah pengurangan subsidi, kenaikan cukai dan kemampuan kerajaan membantu rakyat menjadi semakin terhad.

 

Katanya, tekanan kos sara hidup rakyat juga dijangka akan terus meningkat. 

 

"Belanjawan ini secara umumnya gagal mengemukakan suatu penyelesaian yang menyeluruh terhadap masalah rakyat yang mendesak," katanya. - DagangNews.com