ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 30 Okt. - Felda bercadang untuk melepaskan beberapa asetnya di luar dan dalam negara bagi membantu meningkatkan aliran tunainya pada masa hadapan.
Setakat ini, agensi itu memiliki aset di London, Kuching (Merdeka Palace) dan Sabah (Grand Borneo) serta beberapa rangkaian hotel di bawah Felda Residence.
Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, setakat ini pihaknya ada menerima tawaran berjumlah 300 juta pound sterling bagi aset di London.
"Tetapi, jika kita tunggu 2 hingga 3 tahun lagi, kita mungkin dapat tawaran lebih tinggi pada 500 juta pound sterling.
"Oleh itu, kita melihat ini bukan masanya untuk berbuat demikian (jual aset ini) kerana kita hanya akan lepaskan bila tiba masanya, waktu yang tepat dan dengan harga yang betul.
"Kita tak nak jual hanya sebab kita perlu jual aset-aset ini," katanya dalam taklimat kepada Ketua Editor hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Pasukan Petugas Khas Felda, Tan Sri Abdul Wahid Omar.
Yang turut hadir, Pengarah Besar Felda, Datuk Amiruddin Abdul Satar dan Ketua Peneroka Felda, Sulong Jamil Mohamed Shariff.
Pada 2014, sayap pelaburan Felda menerusi Felda Investment Corp (FIC) membeli hotel 4 bintang di Kengsinton, London pada RM330 juta yang kemudiannya dikenali sebagai Grand Plaza Hotel.
Sebelum itu, Felda juga membeli Grand Plaza Serviced Apartments di Bayswater yang mempunyai 198 unit apartment servis bernilai RM538 juta.
Pada 2017, bekas pengerusi Felda, Tan Sri Shahir Samad dilaporkan berkata, terdapat 54 pihak menyatakan minat untuk membeli Grand Plaza Serviced Apartments dan proses tersebut berada di peringkat akhir kerana Felda perlu menilai tawaran berkenaan dengan sebaik-baiknya.
Setakat 31 Disember 2019, Felda mempunyai nilai aset bersih berjumlah RM7.1 bilion, menyusut berbanding RM20.1 bilion pada 31 Disember 2012.
Jumlah pinjaman pula meningkat daripada RM3.8 bilion pada 2012 kepada RM10.6 bilion pada 2019.
Ini mengakibatkan nisbah hutang meningkat daripada 0.2x pada 2012 kepada 1.5x pada 2019 yang mana struktur modal ini tidak mapan apabila bebanan kos pembiayaan adalah sebanyak RM400 juta setahun tidak dapat ditampung oleh aliran wang tunai operasi negatif dan pulangan pelaburan di bawah tahap dijangkakan.
Sehubungan itu, pada Rabu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Kabinet meluluskan cadangan terbitan sukuk RM9.9 bilion oleh Felda dengan jaminan kerajaan bagi membolehkan agensi itu melaksanakan pelan pemulihan seperti yang dibentangkan oleh Pasukan Petugas Khas.
Mengulas mengenai terbitan sukuk itu, Abdul Wahid menjelaskan, Felda merancang untuk menggunakannya bagi membayar semula pembiayaan sedia ada dan modal kerja.
"Jadi, Felda akan menguruskan terbitan sukuk RM9.9 bilion ini," katanya.
Menurut beliau, dengan langkah kelestarian kewangan Felda ini, ia akan memperkukuhkan kedudukan kewangan dengan peningkatan dana pemegang saham secara berperingkat kepada kira-kira RM15 bilion dan Felda dijangka kembali untung dengan aliran positif mulai 2023. - DagangNews.com