Bentuk kerjasama, cadang nama calon Perdana Menteri sebelum 2 petang 21 November 2022 - Istana Negara | DagangNews Skip to main content

Bentuk kerjasama, cadang nama calon Perdana Menteri sebelum 2 petang 21 November 2022 - Istana Negara

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Nov - Ketua-ketua gabungan parti politik yang mempunyai jumlah kerusi Parlimen yang banyak diminta untuk memaklumkan kepada Istana Negara mengenai gabungan yang dipersetujui bagi pembentukan kerajaan baharu pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

 

Istana Negara dalam satu kenyataan berkata, pihak mereka sudah dimaklumkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh bahawa tiada parti politik berjaya meraih majoriti mudah bagi pembentukan kerajaan baharu.

 

Bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, ketua-ketua parti politik dan ketua gabungan akan diminta oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun bagi memaklumkan gabungan yang dipersetujui bagi pembentukan kerajaan.

 

"Gabungan itu juga perlu mengemukakan nama seorang Ahli Dewan Rakyat  yang mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat untuk menjadi calon Perdana Menteri kepada Istana Negara sebelum pukul 2 petang 21 November 2022.

 

"Selaras dengan Pekara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, adalah dimaklumkan bahawa titah perkenan dan keputusan Seri Paduka Baginda Berkenaan pembentukan kerajaan baharu dan pelantikan Perdana Menteri menerusi proses yang dijelaskan adalah muktamad," katanya.

 

Dalam kenyataan itu itu, Seri Paduka Baginda menasihati rakyat dan ketua-ketua parti politik akur dan menghormati proses demokrasi serta menerima keputusan PRU15 dengan tenang demi menjaga keutuhan negara.

 

Baginda juga mengingatkan bahawa, negara memerluka sebuah kerajaan yang stabil, berwibawa dan berintegriti untuk menjaga rakyat selain memacu agenda kesejahteraan negara.

 

Baginda turut mengajak rakyat mendoakan agar proses pembentukan kerajaan baharu itu dipermudahkan dan berjalan lancar demi kepentingan negara.

 

Berdasarkan keputusan rasmi PRU15, Pakatan Harapan (PH) memenangi 76 kerusi manakala parti gabungannya DAP di Sarawak mendapat lima kerusi dan MUDA menang satu kerusi, menjadikan keseluruhan 82 kerusi Parlimen diperoleh gabungan itu.

 

Gabungan Perikatan Nasional (PN) dan PAS pula memperoleh 73 kerusi Parlimen selepas masing-masing menang 51 dan 22 kerusi.

 

Selain itu, Barisan Nasional (BN) memperoleh 30 kerusi diikuti Gabungan Parti Sarawak (22), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Parti Bangsa Malaysia (satu) dan calon Bebas (dua). - DagangNews.com