Berita palsu sama naik dengan COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Berita palsu sama naik dengan COVID-19

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

Sejak Jumaat, sudah bertebaran banyak mesej yang diambil daripada kumpulan Whatsapp dan kemudiannya dikongsi pula beramai-ramai. 

 

Bayangkan apa akan terjadi jika lebih ramai percaya berita yang belum sahih ini berbanding realiti sebenar? 

 

Sudahlah fitnah berleluasa di era pandemik ini, berita palsu pula sama naik mencanak-canak dengan COVID-19.

 

Ini sebenarnya situasi yang amat menyedihkan tambahan pula, rata-rata masyarakat yang berpendidikan tinggi dan berfikiran terbuka setelah melepasi zaman 2020 sewajarnya sudah boleh menilai kesahihan sesuatu berita, sama ada sahih atau tidak. 

 

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob petang Jumaat lalu baru sahaja umumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan buat pengumuman pada Isnin berhubung langkah yang akan diambil kerajaan. 

 

Tetapi dalam tempoh tak sampai 24 jam pelbagai mesej sudah ditularkan. Risau PKP dilaksanakan lagi, rupanya menimbulkan terlalu banyak khabar angin kurang enak.

 

Memang kita semua ternanti-nanti pengumuman Perdana Menteri dijangka petang ini, tetapi tidak usahlah semuanya ingin menjadi 'wartawan mi segera'. 

 

Setakat 22 Disember lalu, sebanyak 274 kertas siasatan dibuka pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung isu berita palsu berkaitan wabak COVID-19.

 

Pasukan Respons Pantas (PRP) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia juga telah mengeluarkan sebanyak 415 laporan penafian dan penjelasan mengenai berita palsu itu.

 

Dalam situasi kritikal seperti ini, penyebaran berita-berita palsu secara dasarnya boleh mengundang musibah yang lebih dahsyat dalam komuniti. 

 

Memetik satu laporan media, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebelum itu telah memberi amaran bahawa amalan itu boleh membawa kepada penerimaan berita palsu dan penolakan maklumat benar.

 

Ia boleh menyebabkan panik berlebihan, ketakutan dan lebih memburukkan keadaan, apabila menyukarkan kerajaan bertindak dalam menangani wabak ini. 

 

Semalam, Ismail Sabri juga telah mengingatkan rakyat supaya tidak mudah percaya dengan berita palsu mahupun pelbagai andaian tidak benar berhubung keputusan yang akan diumumkan kerajaan.

 

Beliau tidak mahu rakyat membuat pembelian panik ekoran menularnya berita palsu (kerajaan akan laksanaka PKP) tersebut. 

 

Baru-baru ini, jika kita masih ingat wujud mesej yang ditularkan individu tidak bertanggungjawab menggunakan nama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah untuk menyebarkan berita tidak tepat mengenai PKP dan juga Kementerian Kesihatan. 

 

Sebenarnya, penyebaran berita dan kandungan palsu adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun.

 

Janganlah kerana kita nak jadi 'hero' dalam semua benda, kita sebarkan benda tidak tepat. Jika tidak pasti, lebih elok jangan kongsi. Diam-diam sudah. - DagangNews.com