Shafie Shamsuddin, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif, AEON Group Malaysia,
KUALA LUMPUR 26 Mei - AEON Co. (M) Bhd. sekali lagi berkolaborasi dengan Grup Transformasi Ruminan (GTR) dalam menganjurkan Program “Berkat Korban 2.0” buat umat Islam yang menyambut Sambutan Aidiladha pada tahun ini.
Kolaborasi ini merupakan susulan kepada Program Berkat Korban 1.0 yang diadakan buat pertama kalinya pada tahun lalu yang mendapat sambutan baik daripada pelbagai pihak.
Program ini merupakan satu inisiatif yang memberi peluang kepada seluruh umat Islam di Malaysia
yang berdepan dengan kesulitan dalam melaksanakan ibadah korban terutama sekali ketika negara ini
masih lagi berdepan dengan penularan wabak COVID-19.
Menurut Shafie Shamsuddin, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif, AEON Group Malaysia,
“Ketika kita masih lagi berhadapan dengan situasi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di
seluruh negara susulan penyebaran pandemik COVID-19, pelbagai usaha telah diambil dalam
mengadaptasi situasi kehidupan ‘norma baharu’ ini.”
“Kita dapati pada masa ini, terdapat kekangan ke atas masjid-masjid dan surau-surau di Malaysia
dalam melaksanakan ibadah korban.
"Memahami kesulitan yang dihadapi, AEON berbesar hati menyediakan platform bagi memudahkan pelanggan mengamalkan ibadah korban melalui Program Berkat Korban 2.0 di mana kesemua daging korban yang dibungkus akan melalui proses SOP yang ketat dan patuh Shariah untuk umat Islam menyempurnakan ibadat tersebut,” tambah beliau.
Sementara itu, Pengerusi Koop GTR, Nordin Mat berkata, kolaborasi di antara AEON dan GTR tidak
dapat disangsikan lagi kerana program ini telah pun dijalankan bersama pada tahun lalu dan menerima
sambutan yang memberangsangkan.
"Diharap inisiatif seperti ini dapat memberi manfaat kepada seluruh umat Islam tidak kira latar belakang mahupun tahap ekonomi seseorang kerana mereka mempunyai peluang yang sama untuk melakukan ibadah korban,” katanya.
Tambahnya lagi, program Berkat Korban 2.0 akan dilaksanakan di seluruh cawangan AEON, AEON BiG
dan MaxValu. Program ini menyediakan dua kategori haiwan korban iaitu lembu dan kambing. Seekor
lembu seberat 210kg – 250kg akan dibahagi kepada tujuh (7) bahagian, harga yang ditetapkan bagi
satu bahagian adalah berjumlah RM880. Manakala harga seekor kambing seberat 28kg – 30kg adalah
berjumlah RM1,200.
"Harga ini adalah sama bagi mereka yang ingin menyumbangkan bahagian korban mereka kepada golongan Asnaf”.
“GTR menghargai inisiatif yang diambil oleh AEON dan diharap ianya mendapat perhatian daripada
orang ramai dalam menjadikan Program Berkat Korban 2.0 ini sebagai platform untuk menyumbang
kepada mereka yang memerlukan”, ujar Nordin.
AEON menyasarkan sebanyak 500 ekor lembu dan 300 ekor kambing untuk program ini. Bagi tujuan
pembayaran dan tempahan, pelanggan hanya perlu hadir ke kaunter-kaunter yang dibuka khas di
semua cawangan AEON di seluruh negara atau layari laman web
https://fresh.myaeon.com.my/microsite/berkat-korban bermula 27 April sehingga 15 Julai 2021.
Untuk pertanyaan lanjut mengenai Program Berkat Korban 2.0, para pelanggan boleh menghubungi Cik
Suebaidah Sidek di talian 012 – 759 1816. - DagangNews.com