NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
[email protected]
KUALA LUMPUR 28 Okt. - Syarikat teknologi kewangan paling pesat berkembang di ASEAN, BigPay mengungguli carian pertama sebagai bank digital di Malaysia.
Menurut syarikat penyelidikan penerbitan kewangan yang berpangkalan di UK, Business Financing menyatakan, daripada senarai komprehensif bank digital, BigPay menduduki tempat pertama berdasarkan kata kunci dan data carian di Google.
“Kami berbesar hati kerana diiktiraf sebagai syarikat teknologi kewangan terkemuka sejajar dengan usaha kami untuk mempercepatkan lagi keterangkuman kewangan di Malaysia.
"Sepanjang empat tahun lepas, kami telah membantu lebih 1.9 juta rakyat Malaysia meningkatkan aspek kesihatan kewangan mereka.
"Kami juga turut berusaha untuk melancarkan produk kewangan terkawal yang bukan sahaja ringkas dan mudah, tetapi juga telus dan boleh diakses oleh semua orang.” kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama BigPay, Salim Dhanani.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif AirAsia Group, Datuk Kamarudin Meranun berkata, beliau berbangga kerana BigPay pada dasarnya telah diiktiraf sebagai bank digital paling popular di Malaysia dan sebagai syarikat di bawah AirAsia, ia berkongsi falsafah yang sama untuk mendemokrasikan perkhidmatan kewangan serta mencipta produk kewangan yang diakses oleh semua.
"Kami komited dengan misi kami untuk menyediakan perkhidmatan kewangan terbaik kepada mereka yang tidak mendapat peluang yang sama rata," katanya.
Kajian oleh Bain & Company menunjukkan, anggaran 55% penduduk di Malaysia masih tidak mempunyai akaun bank atau tidak mempunyai peluang untuk membuka akaun bank.
Keadaan COVID-19 telah menjadi pemangkin kepada transformasi digital perkhidmatan perbankan dan kewangan, dan kini lebih 74% rakyat Malaysia mempunyai maklumat tentang perbankan digital dan 66% berminat untuk menggunakan perkhidmatan ini dalam kehidupan seharian mereka.
Dalam beberapa bulan akan datang, BigPay akan melancarkan beberapa perkhidmatan baharu termasuk perkhidmatan pinjaman, simpanan mikro dan perkhidmatan kewangan untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (mSME) serta pekerja bebas.-DagangNews.com