BIMB Investment terima 2 Anugerah Kewangan Islam Terbaik Alpha South East Asia 2021 | DagangNews Skip to main content

BIMB Investment terima 2 Anugerah Kewangan Islam Terbaik Alpha South East Asia 2021

KUALA LUMPUR 5 Julai – BIMB Investment Management Berhad, anak syarikat milik penuh Bank Islam Malaysia Berhad telah memenangi anugerah Pengurus Aset & Dana Islam Terbaik 2021 (Best Islamic Asset & Fund Manager 2021) dalam kategori anugerah Asia Tenggara, di Anugerah Kewangan Islamik Terbaik Alpha South East Asia 2021, untuk tahun keempat berturut-turut.

 

Anugerah itu adalah kelolaan Alpha South East Asia, penerbitan pelaburan institusi serantau yang berpusat di Hong Kong,. Di samping itu, BIMB juga telah memenangi anugerah untuk Pengurus Dana Pulangan Diselaraskan Risiko untuk Dana Pelaburan Prinsip ESG Terbaik 2021 (Best Risk-adjusted Returns for ESG Principles Investments Fund Manager 2021).

 

Pengerusi BIMB Investment, Mohamed Ridza Mohamed Abdulla berkata, pujian harus diberikan kepada keseluruhan pasukan BIMB Investment yang telah menjalankan tugas dengan cemerlang dalam menempuh tempoh yang mencabar ini.

 

"Kami amat komited untuk menawarkan pengalaman ESG yang tulen kepada pelabur kami, tetapi juga tidak kurang pentingnya ialah memastikan kami menyediakan pulangan bagus, kukuh, dan konsisten untuk para pelabur kami.

 

"Sebagai pelabur dan penjaga modal, kami komited untuk memajukan prinsip pelaburan yang bertanggungjawab dan untuk mewujudkan masa depan yang lebih lestari. Kami teruja untuk terus mendorong pertumbuhan amalan pelaburan ESG Shariah di Malaysia pada tahun-tahun akan datang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Anugerah Kewangan Islam Terbaik Alpha South East Asia mengiktiraf  pemimpin dalam Kewangan Islam yang telah memberi sumbangan besar kepada industri dan telah mempamerkan pertumbuhan dan kemampuan serta pencapaian inovatif dalam Kewangan Islam.

 

Dengan menggunakan metodologi yang adil, mantap dan bermaklumat, dan setelah menambah sejumlah kriteria tambahan bagi anugerah sedia ada dalam memperketatkan kelayakan di antara kedua-duanya, bank tempatan di Asia Tenggara, Alpha South East Asia mengumumkan keputusan Anugerah Kewangan Islam Tahunan ke-13 2021 menjangkau 12 kategori anugerah.

 

Bertepatan dengan ulang tahun ke-15 penerbitan serantau itu, keputusan anugerah tahun ini amat penting, memandangkan persekitaran operasi yang mencabar bagi kebanyakan institusi kewangan dan institusi kewangan Islam.

Pengerusi BIMB Investment, Mohamed Ridza Mohamed Abdulla
Pengerusi BIMB Investment, Mohamed Ridza Mohamed Abdulla

 

Pengurus Aset & Dana Islam Terbaik 2021

Walaupun dalam keadaan pasaran serba mencabar dalam beberapa tahun kebelakangan ini, BIMB Investment telah mencatatkan pertumbuhan AUM (CAGR) purata yang sangat memberangsangkan, indikasi yang adil mengenai keyakinan pelabur terhadap industri pengurusan dana Islam yang sangat kompetitif.

 

Ia dikendalikan secara bebas dengan standard antarabangsa dan ketika pasaran di Malaysia menyaksikan perubahan besar dalam beberapa tahun kebelakangan ini dari pengeluaran dana bersama sehingga ke pembaharuan pencen dan penambahbaikan peraturan.

 

BIMB Investment telah mengatasi ramai pesaingnya daripada segi prestasi dana, menunjukkan konsistensi termasuk pemahaman yang mendalam mengenai dinamik pasaran yang tidak menentu.

 

Pengurus Dana Pulangan Diselaraskan Risiko Terbaik (Dana Pelaburan Prinsip ESG) 2021

BIMB Investment merupakan peneraju syarikat pengurusan dana Shariah-ESG di Malaysia, terutamanya memandangkan landskap yang cepat berubah dalam industri pengurusan dana di negara ini sekarang.

 

Dengan memanfaatkan strategi multilokal, BIMB Investment telah membantu banyak pelabur runcit dan pelabur institusi membentuk portfolio pelaburan yang pelbagai untuk diri masing-masing. BIMB Investment mampu memberikan pandangan unik dengan membawa kepakaran dan pengetahuannya mengenai peluang-peluang patuh Shariah.

 

Ketua Pegawai Eksekutif BIMB Investment, Najmuddin Mohd Lutfi berkata, dengan rekod prestasi lebih dari 6 tahun dalam menawarkan ESG dan pelaburan lestari, pihaknya komited untuk menjadikan ESG dan pelaburan lestari tersedia untuk semua dan menjadikan Malaysia sebagai pasaran Kewangan Islam Dunia.

 

“Lebih-lebih lagi apabila pandemik COVID-19 ini sangat luar biasa dalam pelbagai cara. Melangkaui tekanan yang sangat dirasakan dari aspek kesihatan dan kemanusiaan, ia juga merupakan masalah ekonomi dan sosial yang akan memberi impak kepada generasi akan datang," ujarnya.

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif BIMB Investment, Najmuddin mohd lutfi
Ketua Pegawai Eksekutif BIMB Investment, Najmuddin Mohd Lutfi

 

 

Dari perspektif kewangan kata beliau, pelaburan ESG adalah mengenai bagaimana syarikat menguruskan risiko persekitaran, sosial dan tadbir urus yang boleh mempengaruhi keuntungan dan daya maju jangka panjang mereka.

 

Syarikat yang menguruskan risiko ini dengan baik akan mengungguli persaingan ini dalam jangka panjang. Anugerah ini menyerlahkan detik penentuan bagi isu-isu persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) dan peranan yang lebih besar yang dapat dimainkan oleh pelaburan patuh Shariah dalam masa-masa yang mencabar ini. - DagangNews.com