BIMB Securities Research unjur 2023 jadi lebih baik buat Hup Seng didorong jumlah jualan lebih tinggi | DagangNews Skip to main content

BIMB Securities Research unjur 2023 jadi lebih baik buat Hup Seng didorong jumlah jualan lebih tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Mei - BIMB Securities Research mengunjurkan 2023 menjadi tahun lebih baik untuk Hup Seng Industries Berhad disokong beberapa faktor termasuk peningkatan sentimen pengguna, jumlah jualan lebih tinggi dan penurunan harga komiditi utama serta pengembangan margin keuntungan.

 

Firma itu juga menjangkakan hasil dan keuntungan sebelum cukai kumpulan itu meningkat 1.9% kepada RM324 juta dan 4.5% kepada RM37.6 juta pada tahun ini.

 

Katanya, sebelum ini kumpulan itu mengalami lonjakan ketara dalam hasil dan untung sebelum cukai pada suku keempat 2022 dengan pertumbuhan masing-masing sebanyak 16% dan 26.6% dari suku tahun ke suku tahun.

 

"Kami menjangkakan kumpulan akan meneruskan aliran positif ini, mencapai pertumbuhan yang serupa atau lebih baik selaras dengan jangkaan kami, didorong oleh jumlah jualan yang lebih tinggi terutamanya dalam pasaran domestik, yang menyumbang lebih 70% daripada jumlah jualan.

 

"Selain itu, normalisasi harga bahan mentah juga akan menyumbang kepada pertumbuhan syarikat. 

 

"Risiko penurunan pendapatan bagaimanapun mungkin datang daripada gangguan rantaian bekalan global yang berlarutan selain keadaan inflasi kerana kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang pesat akan menjejaskan permintaan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, lenaikan kos terutamanya tepung, minyak sawit mentah (MSM) dan minyak mentah telah menjadi masalah bagi kumpulan pada FY22, tidak terkecuali keadaan luaran yang tidak menggalakkan dan gangguan rantaian bekalan global.

 

Katanya, keadaan itu ditambah lagi dengan pelbagai faktor yang berada di luar kawalan seperti tekanan inflasi, kekurangan tenaga kerja, langkah penutupan COVID-19 di peringkat tempatan dan global, dan konflik Rusia-Ukraine yang berlarutan.

 

"Bagaimanapun, kami menjangkakan harga untuk komoditi utama akankembali normal pada tahun ini dan menjadikan margin bersih kumpulan bertambah baik," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 86 sen sesaham. - DagangNews.com