Bimbang kes COVID-19 melonjak, ringgit terus lemah | DagangNews Skip to main content

Bimbang kes COVID-19 melonjak, ringgit terus lemah

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 8 Jan. - Ringgit terus lemah dalam dagangan pagi ini, dibuka rendah pada RM4.0370/0430 berbanding dolar AS.

 

Semalam, mata wang itu ditutup pada RM4.0350/0410, daripada 4.0080/0130 semasa ditutup pada Rabu berikutan pembetulan teknikal. 

 

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid dalam laporan Bernama semalam berkata, ringgit berada pada tahap pembetulan teknikal berikutan pasaran mengambil kira situasi politik dan COVID-19 di Malaysia.

 

Menurut AmBank Research, semalam ringgit lemah 0.7% disebabkan kebimbangan meningkatnya kadar jangkitan yang akan menyebabkan kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) secara bersasar. 

 

"Untuk dagangan hari ini, kami menjangkakan ringgit akan diniagakan pada paras sokongan antara RM4.0070 dan RM4.0182 manakala paras rintangan antara RM4.0496 dan RM4.0594," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Dolar As, katanya, mengukuh 0.33% kepada 89.823, tertinggi sejak 31 Disember 2020 setelah 3 hari mencatat kerugian. 

 

"Pelabur masih meninjau prospek pemulihan ekonomi pada suku akan datang, yang akan terus menyokong mata wang utama ini," katanya. 
 

 

Jangkitan kes COVID-19 pada Khamis mencecah angka 3,027, tertinggi direkodkan Malaysia setakat ini. 

 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang akhbarnya semalam berkata, kes baharu COVID-19 kemungkinan meruncing dan boleh mencecah sehingga 8,000 kes sehari seawal minggu ketiga Mac depan, sekiranya nilai kebolehjangkitan (RO) melepasi kadar 1.2.

 

Sekiranya perintah kawalan pergerakan bersasar (PKPB) dan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) dikekalkan dengan RO dicatat pada kadar 1.1, unjuran kebolehjangkitan COVID-19 mencecah 8,000 kes sehari dapat diperlahankan sehingga minggu kedua Mei.

 

Malah, Kementerian Kesihatan turut meramalkan gelombang ketiga pandemik itu boleh meningkat secara mendadak kepada 5,000 kes harian menjelang minggu ketiga Februari dan terus melonjak pada Mac jika RO kekal pada tahap 1.2. - DagangNews.com