Sheikh Khaled bin Zayed Al Nahyan
KUALA LUMPUR 30 Mac – Bin Zayed International (BZI) LLC) menyasarkan untuk membawa masuk pelaburan langsung asing (FDI) bernilai RM100 bilion ke Malaysia dalam tempoh beberapa tahun akan datang, dengan fasa permulaan melalui pembangunan Widad@Langkasuka di Langkawi.
BZI peneraju konglomerat dimiliki oleh Sheikh Khaled bin Zayed Al Nahyan, yang merupakan ahli keluarga tertua di dalam keluarga Diraja Abu Dhabi merupakan ahli perniagaan terkemuka serta dermawan di Negara Teluk.
Beliau memiliki kepentingan di dalam pelbagai cabang perniagaan tempatan dan antarabangsa di mana ia merangkumi pengurusan hartanah dan pembinaan kediaman serta menara dan bangunan-bangunan komersial.
Di dalam surat rasmi kepada Perdana Menteri Malaysia, BZI melahirkan hasrat yang kuat untuk melabur di negara ini melalui kerjasama eksklusif dengan Widad Business Group.
“Selepas beberapa mesyuarat produktif dan perbincangan lanjut, WBG dan BZI secara bersama amat berbangga untuk memaklumkan kepada Perdana Menteri bahawa kami bersetuju menubuhkan sebuah entiti kerjasama di Malaysia secara khususnya bagi pembangunan projek di Langkawi Kedah iaitu Widad@Langkasuka.
"Kami amat yakin bahawa projek ini akan menjadi salah sebuah projek ikonik di Malaysia yang mana akan membawa Langkawi ke pengiktirafan global yang akan memberi kebanggaan kepada seluruh rakyat Malaysia,” kata Pengarah Urusan Kumpulan BZI Sheikh Midhat Kidwai.
“Kami berikrar bahawa dengan hubungan kerjasama perniagaan ini, kami berhasrat untuk menguasai atau melabur lebih banyak di dalam projek infrastruktur dan juga konsesi. Bermula dengan Widad@Langkasuka, kami percaya pembabitan di dalam projek ni akan membawa lebih banyak FDI bernilai lebih RM100 bilion untuk beberapa tahun akan datang. Kekuatan kemasukan aliran tunai ini akan membantu bagi meningkatkan pemulihan ketara khususnya bagi ekonomi Malaysia dan juga mewujudkan lebih dari 30,000 peluang pekerjaan,” tambahnya. - DagangNews.com