Binastra diramal catat pendapatan lebih baik didorong keupayaan meraih kontrak bernilai tinggi | DagangNews Skip to main content

Binastra diramal catat pendapatan lebih baik didorong keupayaan meraih kontrak bernilai tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Julai - Binastra Corporation Bhd diramal mencatatkan pendapatan RM84.9 juta dan RM103 juta untuk tahun kewangannya masing-masing yang berakhir pada 31 Januari 2025 (FY25) dan 31 Januari 2026 (FY26), berikutan keupayaannya untuk mendapatkan projek bernilai tinggi serta menunjukkan pertumbuhan pendapatan yang kukuh.

 

Rakuten Trade berkata, buku pesanan semasa kumpulan itu berjumlah kira-kira RM2.1 bilion, memberikan keterlihatan pendapatan yang kukuh dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.

 

Katanya, mereka juga telah memperoleh kontrak penting, termasuk projek RM370 juta untuk Kingswoodz dan projek bernilai RM315 juta di Bandar Tasik Selatan.

 

"Dengan 18 projek yang sedang dijalankan setakat Jun 2024, Binastra terus memanfaatkan aktiviti pembinaannya yang teguh.

 

"Strategi untuk mengembangkan portfolionya menggariskan lagi visi syarikat dalam mengekalkan momentum pertumbuhannya dalam sektor pembinaan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, unjuran untuk kumpulan itu dilihat positif kerana industri pembinaan domestik mengalami kebangkitan semula, didorong pelancaran projek infrastruktur kerajaan serta pembangunan yang diterajui sektor swasta.

 

Katanya, penstabilan harga bahan mentah pembinaan dan penyelesaian kekurangan tenaga kerja memantapkan lagi prospek industri.

 

Rakuten Trade berkata, hubungan pelanggan syarikat yang kukuh telah meletakkannya untuk mendapat manfaat daripada projek berulang serta perkongsian jangka panjang, memastikan aliran hasil yang stabil pada tahun-tahun akan datang.

 

"Binastra menyasarkan untuk meneruskan trajektori pertumbuhannya dengan meneruskan kontrak tambahan dan menumpukan pada penyepaduan amalan kemampanan ke dalam operasinya, sejajar dengan peningkatan penekanan terhadap faktor persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG)," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran RM1.71 sesaham. - DagangNews.com