Binastra terima kontrak RM313.7 juta daripada FYT Land bagi projek pembinaan pangsapuri di Kota Kinabalu | DagangNews Skip to main content

Binastra terima kontrak RM313.7 juta daripada FYT Land bagi projek pembinaan pangsapuri di Kota Kinabalu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Jun - Binastra Corporation Bhd menerusi Binastra Builders Sdn Bhd memperoleh kontrak bernilai RM313.7 juta daripada FYT Land (KK) Sdn Bhd bagi kerja-kerja luaran, sempadan, cerucuk serta bangunan utama bagi pembinaan pangsapuri di Kota Kinabalu, Sabah.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, kerja-kerja luaran serta cerucuk itu adalah bagi pembinaan Menara A melibatkan 373 unit pangsapuri setinggi 34 tingkat  dan Menara B melibatkan 389 unit pangsapuri setinggi 30 tingkat serta tempat letak kereta setinggi tujuh tingkat.

 

"Kontrak itu akan dilaksanakan bermula 19 Jun 2024 dan siap sepenuhnya pada 31 Julai 2027," katanya.

 

Kumpulan itu berkata, kontrak itu dijangka menyediakan aliran pendapatan tambahan kepada mereka bagi tempoh empat tahun akan datang.

 

Katanya, kontrak tidak akan memberi kesan ke atas modal saham terbitan syarikat tetapi dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2025 hingga 2028. - DagangNews.com