Bintai Healthcare-IEC bakal edar vaksin koronavirus ke Australia, New Zealand | DagangNews Skip to main content

Bintai Healthcare-IEC bakal edar vaksin koronavirus ke Australia, New Zealand

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 12 Nov. - Bintai Kinden Corporation Berhad (Bintai Kinden) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Bintai Healthcare Sdn. Bhd. (BHSB) bakal mengedarkan vaksin koronavirus Ii-Key-SARS-CoV2 ke pasaran Australia dan New Zealand. 

Pengedaran itu bakal dilaksanakan oleh syarikat tersenarai Australia, IEC Properties Pty. Ltd. (IEC) apabila menerima sub-lesen untuk menjalankan tugas itu oleh BHSB.

Kerjasama itu dimuktamadkan menerusi perjanjian memorandum (MoU) oleh kedua-duanya yang melibatkan rundingan lanjut mengenai terma dan syarat pemberian hak pengedaran kepada IEC.

“Berdasarkan Perjanjian Pengedaran dan Perlesenan antara BHSB, Generex dan NuGenerex Immuno-Oncology, Inc. (NuGenerex), BHSB telah diberikan hak penolakan pertama untuk memasarkan dan mengedarkan vaksin itu di Australia dan New Zealand.

“BHSB berhasrat untuk berkolaborasi dengan IEC yang mempunyai capaian jauh dalam pasaran itu dengan menyerahkan hak eksklusif kepada IEC untuk memasarkan, mengedarkan dan menjual vaksin di Australia serta New Zealand,” kata Bintai Kinden dalam satu kenyataan menerusi pengumuman syarikat di Bursa Malaysia. 

Vaksin Ii Key-SARS-CoV-2 itu dibangunkan sebagai ‘Vaksin Lengkap’ yang mempunyai potensi untuk mendorong tindak balas T-Cell dan imun antibodi yang dapat memberi imuniti pelindung dengan ingatan imunologi yang tahan lama melawan SARS-CoV-2.

Tambah Bintai Kinden, MoU itu akan sah sehingga ditamatkan.

“MoU ini tidak akan memberi kesan ke atas modal bayaran atau diterbitkan oleh Bintai Kinden, tetapi nilai pembangunan kasar dijangka menyumbang kepada perolehan untuk kumpulan syarikat,” tambah Bintai Kinden. - DagangNews.com