KUALA LUMPUR 16 Jun - Syarikat berstatus Nota Amalan 17 (PN17), Bintai Kinden Corp Berhad kini bukan lagi pemegang saham utama Malaysian Genomics Resource Centre Berhad (MGRC).
Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, penyedia perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan elektrik itu telah melupuskan 1.82 juta saham dalam MGRC pada 13 Jun 2023.
Tindakan itu mengurangkan pegangannya dalam MGRC kepada 3.56% daripada 5.19% yang dimiliki pada Julai tahun 2022.
Bintai Kinden muncul sebagai pemegang saham utama MGRC pada Februari 2022 selepas memperoleh 5.03% kepentingan untuk mempelbagaikan perniagaannya ke dalam sektor penjagaan kesihatan.
Difahamkan, kumpulan itu menjalankan siasatan terhadap tiga bekas pengarahnya, tetapi tidak mendedahkan nama individu yang terlibat.
BACA JUGA: Bintai Kinden akan mulakan siasatan dalaman terhadap 'pengarah tertentu'
Skop penyiasatan termasuk mengkaji perdagangan saham yang tidak dibenarkan, potensi dagangan orang dalam, penglibatan pengarah lain atau bekas setiausaha syarikat, dan keberkesanan keseluruhan kawalan tadbir urus korporat kumpulan.
Pada Mei lalu, Bintai Kinden mengumumkan peletakan jawatan tiga pengarah iaitu pengerusi bukan eksekutif, Datuk Ibrahim Othman; pengarah eksekutifnya, Noor Azri Noor Azerai dan naib/timbalan pengerusi bukan eksekutif, Ong Choon Lui.
BACA JUGA: Azri Azerai letak jawatan Pengarah Eksekutif Bintai Kinden atas sebab-sebab peribadi
Bintai Kinden telah tergelincir ke status PN17 pada Mac lalu selepas unit milik penuhnya Optimal Property Management Sdn Bhd ingkar terhadap kemudahan pembiayaan Islam bernilai RM109 juta. - DagangNews.com