Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 16 Nov. - MIDF Research berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) mempunyai lebih ruang untuk menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) sekiranya pemulihan ekonomi negara merosot.
Bagaimanapun, firma penyelidik itu menjangkakan tiada penurunan dasar monetari buat masa ini memandangkan ekonomi negara kian pulih.
“BNM menjangkakan ekonomi Malaysia akan terus pulih memasuki tahun 2021, disokong oleh perbelanjaan awam dan swasta yang pulih memandangkan eksport kian berkembang.
“Walaupun harga lebih rendah meletakkan tekanan tinggi, namun inflasi dijangka melonjak semula pada tahun hadapan tetapi akan dipengaruhi oleh perubahan harga minyak dan komoditi lain,” kata MIDF dalam nota kajiannya.
Pada 9 November lalu, BNM mengekalkan OPR pada kadar 1.75% sekaligus menandakan kadar faedah semasa itu masih akomodatif.
Jelas bank itu, potongan OPR berterusan menyediakan sokongan buat ekonomi negara.
BNM telah mengurangkan sebanyak empat kali OPR pada tahun ini ke paras terendah dalam sejarah.
Indikator baru-baru ini juga menunjukkan ekonomi Malaysia terus pulih pada September 2020.
Dalam pada itu, kadar pengangguran juga menurun kepada 4.6% pada tempoh sama, disokong oleh peningkatan pengambilan pekerjaan memandangkan perniagaan dibenarkan untuk kembali beroperasi.
Pertumbuhan ekonomi Malaysia bertambah baik pada suku ketiga 2020 (3Q20) dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menguncup lebih perlahan pada kadar -2.7% berbanding 2Q20 iaitu -17.1%.
Kesemua sektor ekonomi mencatatkan penambahbaikan memandangkan seluruh ekonomi kian pulih selepas sekatan pergerakan yang ketat telah dilonggarkan. - DagangNews.com