BNM cadang terap nilai Maqasid al-Syariah dalam pembaharuan struktur ekonomi | DagangNews Skip to main content

BNM cadang terap nilai Maqasid al-Syariah dalam pembaharuan struktur ekonomi

KUALA LUMPUR 28 Mei - Bank Negara Malaysia (BNM) bercadang untuk menerapkan nilai Maqasid al-Syariah dalam pembaharuan struktur ekonomi serta memajukan inovasi perdagangan dan wakaf sebagai pemangkin bagi mengukuhkan model sosioekonomi yang inklusif.

 

Gabenor BNM, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, bank itu juga mencadangkan pengukuhan integrasi global dalam memacu pembangunan ekonomi bersama selain berkongsi kemakmuran dalam kalangan negara Islam, termasuk melalui peningkatan perdagangan intra dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

 

"Kami mengalu-alukan usaha-usaha yang akan menyokong cadangan-cadangan ini. 

 

"Hal ini termasuk mengadakan libat urus yang lebih mendalam dan dialog bersasar dengan organisasi pelbagai hala dan pelabur serta inisiatif untuk mempertingkatkan persekitaran kawal selia bagi memudahkan penerapan kontrak syariah yang lebih pelbagai,” katanya ketika berucap semasa Forum Global mengenai Ekonomi dan Kewangan Islam (GFIEF) di sini, hari ini, lapor Bernama.

 

GFIEF yang berlangsung selama dua hari bertemakan “Membentuk Ekonomi Islam Global yang Berdaya tahan melalui Pembaharuan Berasaskan Nilai”, melambangkan kerjasama penting menghimpunkan lebih 2,300 perwakilan dari 75 negara.

 

gabenor
Datuk Abdul Rasheed Ghaffour

 

Beliau berkata, terdapat pelbagai peluang dan cabaran yang dihadapi ekonomi global, di mana perdagangan global dijangka mengukuh, inflasi menjadi sederhana, dan keadaan pasaran buruh yang positif terus menyokong pertumbuhan global.

 

Katanya, risiko menurun kekal apabila ancaman ketegangan geopolitik yang berterusan dan perubahan inflasi yang lebih tinggi daripada jangkaan mungkin menyumbang kepada ketidaktentuan selanjutnya dalam pasaran kewangan global.

 

“Krisis iklim dan kemerosotan alam sekitar juga semakin ketara. Keadaan ini bukan hanya menggugat dunia kita secara fizikal, malah turut mengancam nyawa dan mata pencarian orang ramai.

 

“Terdapat anggaran bahawa jika tiada tindakan mitigasi yang diambil, perubahan iklim mampu mengurangkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global hingga 18% menjelang 2050,” katanya.

 

Abdul Rasheed berkata, cabaran itu pasti akan memburukkan lagi ketidaksamaan ekonomi, melebarkan lagi jurang ekonomi bukan sahaja dalam sesebuah negara malah antara pelbagai negara.

 

“Prinsip ekonomi dan kewangan Islam berpotensi memacu pertumbuhan berasaskan nilai, melebihi matlamat keuntungan semata-mata; iaitu pertumbuhan yang seimbang, progresif, mampan dan inklusif.

 

“Selaras dengan objektif syariah, kita diseru untuk memupuk kemakmuran bersama. Sepanjang sejarah tamadun Islam, kita telah memerhatikan bahawa penerapan prinsip syariah sebagai panduan pembangunan adalah selari dengan tahap pembangunan masyarakat yang paling maju pada masa tersebut," katanya.- DagangNews.com