BNM kekalkan OPR 1.75% | DagangNews Skip to main content

BNM kekalkan OPR 1.75%

Bank Negara Malaysia (BNM)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 4 Mac. - Jawatankusa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75%.

 

Bank pusat itu berkata, pemulihan ekonomi global semakin rancak disokong oleh peningkatan yang stabil dalam aktiviti perkilangan dan perdagangan di samping program pemberian vaksin yang sedang dilaksanakan di banyak negara.

 

Meskipun pasaran kewangan telah mengalami volatiliti, keadaan kewangan terus menyokong kegiatan ekonomi.

 

Penunjuk terkini bagi Malaysia pula menunjukkan permintaan luaran yang bertambah baik dan perbelanjaan pengguna berterusan.

 

Jelas BNM lagi, walaupun pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan akan menjejaskan pertumbuhan pada suku pertama, kesannya dijangka tidak seteruk yang dialami pada suku kedua 2020.

 

"Pada masa hadapan, pertumbuhan diunjurkan meningkat mulai suku kedua dan seterusnya. Keadaan ini didorong oleh pemulihan permintaan global, peningkatan perbelanjaan sektor awam dan swasta berikutan sokongan yang berterusan daripada langkah-langkah dasar serta langkah-langkah pembendungan yang lebih bersasar.

 

"Pertumbuhan juga akan disokong oleh pengeluaran yang lebih tinggi daripada fasiliti sedia ada dan baharu dalam sektor perkilangan, khususnya dalam subsektor elektrik dan elektronik (E&E) dan subsektor berkaitan sumber, serta loji pengeluaran minyak dan gas.

 

"Program pemberian vaksin COVID-19 dalam negeri juga akan meningkatkan sentimen dan kegiatan ekonomi," jelas BNM dalam pernyataan Dasar Monetari hari ini.

 

Mengulas lanjut, BNM memberitahu, purata inflasi keseluruhan pada tahun 2021 diunjurkan lebih tinggi disebabkan terutamanya oleh harga minyak yang meningkat. 

 

Dari segi trajektori katanya, inflasi keseluruhan dijangka naik mendadak untuk sementara waktu pada suku kedua tahun 2021. 

 

"Hal ini disebabkan oleh asas yang lebih rendah daripada harga runcit bahan api dalam negeri yang rendah pada suku yang sama tahun 2020, sebelum menjadi sederhana. 

 

"Inflasi asas dijangka kekal rendah dalam keadaan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi.  Walau bagaimanapun, prospek ini bergantung pada perkembangan harga minyak dunia dan komoditi," ujar BNM lagi.

 

Dalam pada itu, MPC menyifatkan pendirian dasar monetari tersebut adalah wajar dan akomodatif. 

 

Ia berikutan keadaan pandemik yang terus tidak menentu, pendirian dasar monetari pada masa hadapan akan terus ditentukan oleh data dan maklumat baharu, serta kesannya kepada prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri. 

 

Dalam pernyataan sama, BNM memberitahu akan terus komited untuk menggunakan alat-alat dasarnya yang bersesuaian bagi mewujudkan keadaan yang menyokong pemulihan ekonomi yang berterusan. - DagangNews.com