BNM terima 29 permohonan lesen bank digital | DagangNews Skip to main content

BNM terima 29 permohonan lesen bank digital

 


KUALA LUMPUR 2 Julai - Bank Negara Malaysia (BNM) menerima sebanyak 29 permohonan untuk mendapatkan lesen bank digital telah diterima di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013. 

 

Tempoh permohonan selama enam bulan berakhir pada Rabu, 30 Jun lalu.

 

Menurut BNM, pelbagai pihak telah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan lesen bank digital, termasuk bank-bank, konglomerat industri, firma teknologi, penyedia perkhidmatan e-dagang, syarikat Fintech, koperasi dan beberapa kerajaan negeri.

 

"Pemohon yang berjaya dan memenuhi kesemua kriteria kehematan dijangka dapat menyumbang ke arah rangkuman kewangan yang lebih luas.

 

"Malah, mereka dapat menawarkan produk dan perkhidmatan kewangan untuk mengurangkan jurang pasaran bagi golongan yang kurang mendapat perkhidmatankewangan dan yang tidak mendapat perkhidmatan kewangan," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Jelas BNM, hal ini termasuk menggalakkan penggunaan penyelesaian kewangan yang sesuai dan pada kos yang berpatutan melalui penggunaan aplikasi teknologi yang inovatif.

 

Bank pusat memberitahu, hanya lima lesen akan dikeluarkan dan permohonan yang berjaya akan dimaklumkan pada suku pertama 2022. - DagangNews.com