Boikot berterusan dijangka jadi penghalang potensi pertumbuhan pendapatan 7-Eleven pada FY24 | DagangNews Skip to main content

Boikot berterusan dijangka jadi penghalang potensi pertumbuhan pendapatan 7-Eleven pada FY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Jun - Tindakan boikot berterusan jenama tertentu secara berterusan berkemungkinan menghalang potensi pertumbuhan pendapatan 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd pada FY24.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) juga menjangkakan pertumbuhan hasil yang lebih lemah untuk kumpulan itu selain berdepan perbelanjaan operasi kedai tambahan yang lebih tinggi.

 

Firma penyelidikan itu menyemak turun anggaran pendapatan FY24-FY26 antara 9% hingga 12%.

 

 

"Momentum jualan keseluruhan adalah mencabar berikutan jumlah kehadiran pelanggan yang lebih lemah semasa bulan Ramadan selain boikot berterusan ke atas jenama asing.

 

"Bagaimanapun, produk label peribadi kumpulan menyumbang 6% daripada jumlah jualan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, pada suku pertama berakhir 31 Mac 2024 (1QFY24), keuntungan bersih 7-Eleven merosot kepada RM12.84 juta daripada RM15.68 juta pada tempoh yang sama sebelumnya, manakala hasil meningkat kepada RM684.21 juta daripada RM655.98 juta setahun sebelumnya.

 

Perbelanjaan operasi meningkat sebanyak RM20.7 juta atau 10.2%, terutamanya disebabkan oleh perbelanjaan berkaitan operasi kedai yang lebih tinggi yang didorong oleh waktu operasi yang lebih panjang dan penambahan 88 kedai baharu bersih, menjadikan jumlah keseluruhan kedai kepada 2,581.

 

Maybank IB berkata, perbelanjaan penjualan dan pengedaran suku pertama kumpulan meningkat 9% memandangkan kos tenaga kerja yang lebih tinggi daripada pembukaan kedai baharu.

 

Ia juga kesan daripada ketidakcekapan gudang seperti pengurusan inventori yang dialami selepas berpindah ke pusat pengedaran (DC) baharu yang menjejaskan kadar pemenuhan kedai.

 

"Kumpulan itu sedang memperhalusi proses pusat pengedarannya pada masa ini dan menjangkakan kadar pemenuhan kedai akan kembali ke tahap optimum pada suku berikutnya," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM1.97 sesaham. - DagangNews.com