Bonanza Educare jalin kerjasama pendidikan dengan universiti Singapura | DagangNews Skip to main content

Bonanza Educare jalin kerjasama pendidikan dengan universiti Singapura

Dato' Lim Si Boon (kiri) dan Prof. Tan Tai Yong selepas memeterai MoU pendidikan antara Bonanza Educare dan SUSS di Ipoh.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 27 Ogos - Kumpulan pendidikan Bonanza Educare Sdn. Bhd. (Bonanza Educare) menjalin kerjasama dengan Singapore University of Social Sciences (SUSS) bagi mempromosi penyelidikan dan pembangunan dalam bidang pendidikan.

 

Kedua-dua pihak akan bekerjasama untuk mengenal pasti peluang penyelidikan dan projek pembangunan dalam bidang sepadan di Perak dan Singapura.

 

Menerusi satu kenyataan, Bonanza Educare memberitahu, kerjasama ini bertujuan memupuk inovasi dan pertukaran pengetahuan menerusi sokongan akademik SUSS.

 

Selain itu, Bonanza Educare dan SUSS akan bersama-sama menganjur dan melaksanakan program pendidikan bersesuaian di Perak.

 

Perak

 

“Kedua-dua pihak juga akan bekerjasama dalam pelaksanaan program berasaskan pengalaman di Perak untuk menggalakkan pendedahan dan pertukaran budaya.

 

‘Ini juga melibatkan berkongsi peluang pembiayaan berpotensi bagi menampung projek dan inisiatif kerjasama jangka panjang,” ujar kenyataan itu.

 

Memorandum persefahaman (MoU) tersebut telah ditandatangani antara Pengerusi dan Pengarah Bonanza Educare, Dato’ Lim Si Boon dan Presiden SUSS, Prof. Tan Tai Yong.

 

Majlis diadakan ibu pejabat Bonanza Venture Holdings di bangunan 1Lasam di sini yang mana Bonanza Educare merupakan anak syarikatnya.

 

Perak

 

Kerjasama kedua-dua entiti membuka jalan kepada pelajar SUSS untuk mengejar peluang pekerjaan dan latihan amali di sekolah dan ruang pembelajaran kelolaan Bonanza Educare.

 

Ini dapat menyediakan pelajar dengan pengalaman praktikal dalam industri dan ekosistem yang berkaitan.

 

Pada majlis sama juga dimeterai MoU berasingan antara SUSS dengan Perak Academy dan Belum Eco-Resort Sdn. Bhd.

 

Bonanza Educare adalah perintis pendidikan kebangsaan dan antarabangsa di Malaysia dengan penglibatan lebih 60 tahun.

 

Ia telah membangunkan kumpulan sekolah antarabangsa dan swasta terbesar di Malaysia iaitu Tenby Schools sebelum menjual Tenby Educare pada 2016.

 

Institusi pendidikan lain di bawah kendalian Bonanza Educare termasuk Knewton Global Schools, Disted College, Ipoh Learning & Training Institute, Language Labz dan Kinder Labz. - DagangNews.com