Bot FIC G2000 MkII Gading Marine tarik minat negara luar | DagangNews Skip to main content

Bot FIC G2000 MkII Gading Marine tarik minat negara luar

Sebuah daripada bot FIC G2000 Mk1 yang dimiliki TLDM.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 31 Mei - Beberapa negara dikatakan berminat untuk mendapatkan bot pemintas laju (FIC) buatan tempatan, G2000 MkII bagi kegunaan pasukan keselamatan masing-masing.

 

FIC G2000 MkII merupakan versi bot terkini yang dibina oleh syarikat bumiputera, Gading Marine (M) Sdn. Bhd. (Gading Marine).

 

Ia merupakan versi ketiga daripada bot Siri G2000 yang dibina oleh syarikat tersebut.

 

Bot inj antara aset-aset ketenteraan yang ditunjukkan kepada umum pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA 2023) yang baru berakhir.

 

Bot FIC G2000 MkII yang dipamerkan pada LIMA 2023 di Langkawi.
Bot FIC G2000 MkII yang dipamerkan pada LIMA 2023 di Langkawi.

 

Beberapa delegasi luar dan juga agensi tempatan telah menyuarakan minat terhadap FIC G2000 MkII ini termasuklah delegasi pertahanan dari Brunei Darussalam.

 

Difahamkan, pihak Gading Marine akan melakukan kunjungan ke negara itu dalam masa terdekat untuk memberikan penerangan lebih terperinci berhubung keupayaan G2000 MkII ini.

 

Negara lain yang berminat termasuklah Emiriah Arab Bersatu (UAE).

 

Sekiranya usaha ini berjaya, ia bakal menjadi kejayaan besar pada Gading Marine dan juga negara apabila produk pertahanan tempatan dapat menembusi pasaran global.

 

Pengerusi Gading Marine, Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany (kiri) mengiringi Menteri Pertahanan Timor Leste (dua dari kiri) melihat Bot FIC G2000 MkII.
Pengerusi Gading Marine, Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany (kiri) mengiringi Menteri Pertahanan Timor Leste (dua dari kiri) melihat Bot FIC G2000 MkII.

 

Ketika ini Gading Marine sedang menyiapkan kontrak membekalkan 13 unit FIC G2000 MkII  untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang akan diserahkan pada September 2024.

 

Versi G2000 MKII mempunyai spesifikasi lebih tinggi melalui sistem pendorong yang lebih berkuasa.

 

Ia dilengkapi dengan tenggekan sistem senjata kawalan jauh (RCWS) iaitu mesingan kaliber 12.7mm selain dua laras mesingan 7.62mm pada sisi bot.

 

Turut ditambah baik ialah susun atur dalaman bagi memberikan lebih keselesaan kepada kru.

 

Pembelian ini merupakan tambahan kepada enam buah FIC G2000 Mk1 yang diterima TLDM pada April 2021 daripada Gading Marine bernilai RM80 juta.

 

Delegasi Jabatan Kastam Diraja Malaysia semasa menguji FIC G2000 MkII.
Delegasi Jabatan Kastam Diraja Malaysia semasa menguji FIC G2000 MkII.

 

Bot-bot ini telah digunakan dengan berkesan oleh TLDM sepanjang Ops Benteng bagi melaksanakan rondaan dan pelbagai misi.

 

Dua unit versi pertama iaitu FIC G2000 pula telah diserahkan kepada Pasukan Polis Marin pada tahun 2019. - DagangNews.com