Boustead Properties, Opus International jalin kerjasama sedia rumusan tenaga mampan | DagangNews Skip to main content

Boustead Properties, Opus International jalin kerjasama sedia rumusan tenaga mampan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Mac - Boustead Properties Bhd menerusi Boustead DCP Sdn Bhd membentuk kerjasama dengan Opus International (M) Bhd melalui anak syarikatnya, Opus International (M) Bhd bagi penyediaan rumusan tenaga mampan.

 

Opus International merupakan anak syarikat milik penuh UEM Edgeneta Bhd.

 

Dalam satu kenyataan bersama, terdapat dua bahagian dalam kerjasama berkenaan termasuk kontrak prestasi tenaga (EPC) serta memorandum penerokaan perniagaan (MOBE) dan ia selaras dengan komitmen Boustead Properties terhadap amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Boustead Holdings Bhd, Izaddeen Daud berkata, kerjasama strategik itu mewakili cara syarikat berkaitan kerajaan boleh bekerjasama untuk memasuk ESG menerusi rumusan yang inovatif.

 

“Inisiatif ini selari dengan seruan Perdana Menteri kepada GLIC (syarikat pelaburan berkaitan kerajaan) dan GLC (syarikat berkaitan kerajaan) untuk menerajui pelaburan domestik bagi memperkukuh ekonomi Malaysia.

 

"Dengan memanfaatkan kepakaran kolektif kumpulan, kami bersedia untuk memberi sumbangan besar kepada agenda pembangunan mampan Malaysia," katanya.

 

EPC itu terdiri daripada kontrak 10 tahun untuk menaik taraf dan penyelenggaraan sistem penyejuk di The Curve Mall, Mutiara Damansara.

 

Terdapat anggaran penjimatan tenaga tahunan sebanyak 4.4 juta kilowatt jam (kWj)/tahun, penjimatan kos tenaga sebanyak RM2.3 juta setahun mewakili pengurangan sebanyak 38% dalam penggunaan tenaga.

 

Selain itu, EPC itu menjangkakan pengurangan ketara dalam pelepasan karbon, dengan anggaran penurunan sebanyak 3,432 tan setara karbon dioksida (tCO2e). Prestasi kecekapan penyejuk juga dijangka meningkat daripada 1.24 kilowatt setiap tan penyejukan (kW/RT) kepada 0.9 kW/RT.

 

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Syahrunizam Samsudin berkata, dalam era kemampanan dan prinsip ESG, Opus International hadir sebagai pemangkin kepada perubahan dengan kepakaran melebihi tiga dekad, rumusan kemampanan bukan sahaja telah menjana penjimatan yang besar tetapi memacu peningkatan prestasi serta menambah nilai aset untuk kepada pelanggan.

 

"Pelanggan telah mencapai sehingga 52% pengurangan dalam penggunaan tenaga elektrik, menghasilkan lebih RM100 juta penjimatan terkumpul.

 

"Kami menggalakkan lebih banyak syarikat Malaysia dan GLC untuk menerima inisiatif hijau, menerajui tanggungjawab ke arah masa depan dengan daya tahan dan penjagaan alam sekitar," katanya.- DagangNews.com