BP Plastics diunjur catat peningkatan jualan 10% pada FY24 didorong peningkatan trend perbelanjaan global | DagangNews Skip to main content

BP Plastics diunjur catat peningkatan jualan 10% pada FY24 didorong peningkatan trend perbelanjaan global

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Jun - BP Plastics Holdings Bhd diunjur mencatatkan peningkatan 10% jumlah jualan pada FY24 didorong peningkatan trend perbelanjaan pengguna global dan kadar faedah yang lebih rendah.

 

Kenanga Research berkata, pertumbuhan itu berpunca daripada pesanan yang lebih tinggi daripada pelanggan sedia ada, pemerolehan pelanggan baharu dan peningkatan jualan eksport terutamanya ke Eropah dan Amerika Syarikat (AS) bagi tawaran premium yang inovatif seperti filem regangan nano.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu jugab sedang memperkenalkan produk regangan baharu, yang menawarkan porud boleh kitar semula dengan ketahanan tinggi bagi produk untuk simpanan luar.

 

"Dalam sektor makanan dan minuman (F&B), produk pembungkusan filem baharu akan dilancarkan pada suku keempat tahun ini dengan tawaran fleksibiliti penyesuaian yang lebih besar dan disokong oleh teknologi percetakan dan pemotongan termaju.

 

"Pemasaran terus kepada pemilik jenama domestik dirancang untuk produk ini, yang membawa margin lebih tinggi dan dijangka membantu mengimbangi peningkatan kos tenaga kerja dan elektrik," katanya dalam atu nota kajian, hari ini.

 

Kenanga Research menyukai kumpulan itu kerana kedudukannnya yang kukuh dalam pasaran Asia Tenggara dan dijangka kekal berdaya tahan walaupun terdapat ketidaktentuan ekonomi global.

 

Kumpulan itu juga mempunyai rancangan pengembangan yang baik terutamanya kapasiti pengeluaran untuk produk pembungkusan mampan seperti filem regangan nano selain disokong kunci kira-kira yang stabil serta kedudukan tunai bersih.

 

"Kami mengekalkan saranan 'market perform' dengan harga sasaran TP of RM1.42 sesaham," katanya.- DagangNews.com