BPMB, PPZ MAIWP sumbang makanan asas RM25,000 bantu asnaf | DagangNews Skip to main content

BPMB, PPZ MAIWP sumbang makanan asas RM25,000 bantu asnaf

 (Tiga dari kiri) Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB, Arshad Mohamed Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff, dan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Parlimen Batu, Gulam Muzaffar Gulam Mustakim.

(Tiga dari kiri) Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB, Arshad Mohamed Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff dan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Parlimen Batu, Gulam Muzaffar Gulam Mustakim ketika menyampaikan bantuan kepada Perumahan Awam Seri Perak, Bandar Baru Sentul.

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 8 Jan. - Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) bersama Pusat Pungutan Zakat (PPZ)-MAIWP menjalin kerjasama menjalankan tanggungjawab korporat sosial membantu golongan asnaf yang memerlukan melalui sumbangan bantuan makanan asas bernilai RM25,000.

 

BPMB berkata, sumbangan tersebut adalah salah satu daripada siri sumbangan bantuan makanan asas dengan nilai keseluruhan berjumlah berjumlah RM100,000 kepada 1,400 keluarga asnaf. 

 

"Sumbangan ini bertujuan untuk membantu meringankan beban golongan asnaf yang memerlukan, terutamanya yang terkesan dengan wabak pandemik COVID-19 sehingga menyebabkan hilang sumber pendapatan atau terjejas peruntukan pembelian bekalan makanan asas harian.

 

"Sumbangan berupa pek bantuan makanan asas (kering dan basah) tersebut telah diberikan kepada komuniti Perumahan Awam Seri Perak, Bandar Baru Sentul di bawah program ‘Projek Bakul Rezeki Khaira PPZ-BPMB,’ dan juga kepada komuniti Perumahan Awam Sungai Bonus di bawah program ‘Projek Lori Rezeki Khaira PPZ-BPMB," jelas BPMB.

 

Penyerahan sumbangan tersebut dijalankan di Perumahan Awam Seri Perak, Bandar Baru Sentul.

 

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff dan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Parlimen Batu, Gulam Muzaffar Haji Gulam Mustakim.

 

Majlis penyerahan sumbangan di Perumahan Awam Sungai Bonus pula dihadiri oleh Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Sg. Bonus, Datuk Razak Abdul Karim, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif BPMB, Arshad Mohamed Ismail.

 

 (Dari kiri) Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Sg. Bonus, Datuk Razak Abdul Karim; Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB, Arshad Mohamed Ismail dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman.
(Dari kiri) Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Sg. Bonus, Datuk Razak Abdul Karim; Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB, Arshad Mohamed Ismail dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman ketika menyampaikan bantuan makanan asas kepada Perumahan Awam Sungai Bonus.

 

Mengulas berkaitan kerjasama tersebut, Arshad memberitahu, kerjasama pintar bersama PPZ-MAIWP merupakan itu adalah salah satu usaha BPMB untuk menjalankan tugas sebagai sebuah institusi kewangan yang bertanggungjawab dalam membantu golongan masyarakat yang kurang bernasib baik.

 

"Ini merupakan usaha kerjasama pertama bersama pihak PPZ-MAIWP dan kami berharap sumbangan ini sedikit sebanyak akan dapat meringankan beban para penerima.

 

“Kami juga berharap agar kerjasama yang baik dan murni ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan untuk terus membantu meringankan beban golongan asnaf yang memerlukan," tambah beliau. - DagangNews.com