KUALA LUMPUR 7 Nov - Braintree Technologies, Ultimeat dan Kapitani masing-masing akan menerima geran bernilai RM500,000 daripada Khazanah Nasional Berhad selepas diumumkan sebagai tiga pemenang utama Cabaran Impak Inovasi Khazanah (KIIC) 2023.
Mereka merupakan antara 15 finalis mewakili perniagaan berimpak di Malaysia yang bertanding bagi merebut peluang mendapatkan pelaburan ekuiti dan/atau pembiayaan hutang dalam usaha untuk menyampaikan rumusan inovatif bagi menangani cabaran perubahan iklim demi keterjaminan makanan di Malaysia.
Tiga pemenang dengan penyelesaian yang paling inovatif dan unik serta impak yang boleh diukur, beroperasi dengan model perniagaan yang mampan dan menawarkan penyelesaian yang sesuai untuk Malaysia telah dipilih oleh panel hakim KIIC 2023.
Sementara itu, 12 finalis lain masing-masing akan menerima geran bernilai antara RM400,000 hingga RM150,000.
Anugerah kepada pemenang dan finalis disampaikan oleh Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir dan Ketua Dana Impak Khazanah dan Penjagaan Kesihatan, Bryan Lim.
Amirul Feisal berkata, menerusi KIIC 2023, pihaknya berharap untuk menyalurkan sokongan dan modal yang diperlukan bagi pelaksanaan penyelesaian yang inovatif dan mampan untuk menangani isu keterjaminan makanan, pada masa sama memacu daya tahan sosio-ekonomi dan potensi pertumbuhan untuk negara.
“Dedikasi dan kebijaksanaan syarikat-syarikat pemula ini bukan sahaja akan menambahbaik landskap agrimakanan tetapi juga berpotensi menyokong keperluan pelbagai isi rumah.
"Ketika kita mendepani peningkatan kadar inflasi, ketidaktentuan global dan cabaran yang dibawa perubahan iklim, penyelesaian inovatif yang dipelopori hari ini akan menjadi sumber daya tahan bagi pengguna dan negara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Braintree Technologies berkata, pihaknya merancang mempercepatkan pelan pengkomersialan robot mereka selain meningkatkan pengeluaran dengan geran RM500,000 itu kerana perubahan iklim memberi kesan kepada petani serta mereka tidak lagi dapat bergantung kepada pola kitaran tanaman biasa.
"Ketidakpastian dalam kalendar tanaman juga menyebabkan ketidakpastian terhadap tenaga kerja di ladang. Robot kami mampu menjadi pekerja yang fleksibel dan serba boleh, serta mampu melakukan pelbagai jenis tugas dan membantu petani menangani ketidakpastian ini," katanya.
Dalam pada itu, Ketua PEgawai Eksekutif Ultimeat, Edwin Lee berkata, dengan geran RM500,000 itu pihaknya merancang mengukuhkan usaha penglibatan komuniti mereka bagi memastikan rakyat Malaysia mendapat maklumat yang menyeluruh tentang produk mereka.
"Berikutan cabaran perubahan iklim dan implikasinya terhadap keterjaminan makanan, teknologi inovatif Ultimeat menyediakan penyelesaian yang mampan dengan menghasilkan protein dalam tempoh tujuh hari sahaja dan mengurangkan kesan terhadap alam sekitar," katanya.
Dalam perkembangan sama, tiga syarikat pemula berasaskan teknologi iaitu Entomal, Hydroemission dan Kairos, masing-masing menerima “Anugerah Pemilihan Rakan Kongsi” dengan geran RM10,000 yang ditaja oleh program MYStartup Cradle, sebagai motivasi untuk memajukan lagi perniagaan mereka. - DagangNews.com