BRICS bakal pelbagaikan diplomasi ekonomi Malaysia - NCCIM | DagangNews Skip to main content

BRICS bakal pelbagaikan diplomasi ekonomi Malaysia - NCCIM

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 6 Sept - Penyertaan Malaysia dalam blok ekonomi BRICS bakal mempelbagaikan diplomasi ekonomi negara dan mengukuhkan hubungan diplomatik melalui inisiatif bersama, menurut Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM).

 

Blok ekonomi itu melibatkan kerajaan dari negara Brazil, Rusia, India, China, Afrika Selatan, Iran, Mesir, Ethiopia dan Emiriah Arab Bersatu.

 

Presiden NCCIM, Datuk Seri N Gobalakrishnan menyifatkan, langkah itu akan membawa negara ke era pemindahan teknologi yang dipertingkatkan dan perkongsian pengetahuan yang kritikal bagi kemajuan bersama Malaysia dan negara-negara BRICS.

 

“Ketika Malaysia melangkah ke hadapan untuk menyertai BRICS, kami amat teruja untuk memanfaatkan kedudukan kami sebagai hab semikonduktor dan pemain aktif dalam pasaran global.

 

“Keahlian BRICS Malaysia yang bakal mewujudkan persekitaran perdagangan seimbang dan saksama, menggalakkan infrastruktur kewangan saksama bagi pertumbuhan ekonomi global yang mampan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

 

Gobalakrishnan turut menjelaskan potensi penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak BRICS yang akan datang di Kazan, Rusia, dari 22 hingga 24 Oktober 2024. 

 

Beliau berkata, penyertaan Malaysia dalam acara itu mencerminkan pendekatan proaktif negara bgi mengukuhkan kerjasama dan dialog antarabangsa.

 

“Penglibatan ini bukan sahaja peluang untuk mengukuhkan hubungan dengan negara BRICS, tetapi juga platform untuk mempamerkan kesediaan Malaysia untuk menyumbang secara bermakna kepada pertumbuhan dan pembangunan kolektif Global Selatan,” ujar beliau.

 

Beliau menekankan, ketika Malaysia sedang bersedia untuk memegang jawatan Pengerusi ASEAN tahun depan, penglibatan negara dengan BRICS tidak mungkin lebih tepat pada masanya.

 

“Malaysia bukan sahaja menyertai pakatan ekonomi tetapi sejajar dengan kolektif yang mencerminkan aspirasi kita untuk ekonomi global yang lebih bersepadu dan saksama.

 

“Kami memuji pendirian bebas kerajaan Malaysia dan pendekatan terbuka terhadap kerjasama antarabangsa yang  sejajar dengan aspirasi komuniti perniagaan kami,” ulas Gobalakrishnan.- DagangNews.com