Buku pesanan Solarvest diramal berkembang lebih daripada kontrak CGPP, Maybank IB kekalkan saranan 'Beli' | DagangNews Skip to main content

Buku pesanan Solarvest diramal berkembang lebih daripada kontrak CGPP, Maybank IB kekalkan saranan 'Beli'

Gambar hiasan Solarvest
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 4 Sept - Buku pesanan Kontrak Reka Bentuk, Pembinaan, Pengurusan dan Pengendalian (EPCC) Solarvest diramal berkembang lebih daripada sekadar Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP) untuk turut merangkumi projek-projek komersial dan industri (C&I).

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, kerja-kerja projek C&I melibatkan sasaran pengisian semula buku pesanan sebanyak RM50 juta bagi setiap suku tahun.

 

Katanya, keselruhannya Solarvest sedang membida sekitar 443MWp projek EPCC CGPP yang mencadangkan potensi pendapatan sebanyak RM714 juta. 

 

"Kami juga menantikan penyertaan Solarvest dalam kuota tenaga boleh diperbaharui (RE) baharu sebanyak 2GW di bawah projek solar berskala besar 5 (LSS5) untuk mengembangkan buku pesanan dan asas asetnya," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Solarvest raih kontrak EPCC bernilai RM113.3 juta daripada P Solar

 

Mengenai kemenangan terbaharu yang diumumkan semalam, Maybank IB berkata, projek tersebut akan meningkatkan buku pesanan Solarvest kepada RM582 juta. 

 

"Kami tidak membuat sebarang perubahan kepada ramalan kami, kerana kemenangan projek ini merupakan sebahagian daripada andaian buku pesanan sebanyak RM600 juta/RM800 juta masing-masing bagi FY25 dan FY26.

 

"Kami kekal optimis terhadap prospek Solarvest dalam mengembangkan buku pesanan dan asas asetnya berikutan permintaan yang kukuh untuk RE dalam jangka sederhana hingga Panjang," jelasnya.

 

Maybank IB berkata, pihaknya difahamkan ladang solar di Pekan, Pahang ini akan dibina di atas 88 ekar tanah yang telah ditambak berhampiran pantai.

 

"Ia akan menjana sekitar 57.5 GWh tenaga bersih setiap tahun serta ~60,000 Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui (REC). 

 

"Kerja-kerja EPCC dijangka selesai dalam tempoh 18 bulan dari tarikh penerimaan surat penganugerahan (LOA)," ujarnya.

 

Maybank IB mengekalkan saranan 'Beli' Solarvest dengan harga sasaran (TP) tidak berubah, RM1.84 sesaham. - DagangNews.com