Buluh bukan komoditi utama negara | DagangNews Skip to main content

Buluh bukan komoditi utama negara

buluh

KUALA LUMPUR 14 Julai - Tanaman buluh tidak akan diangkat sebagai komoditi utama negara bagi menggantikan kelapa sawit.

Malah, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi akan memperkasa industri kelapa sawit menerusi kajian teknologi terkini seterusnya menembusi pasaran luar negara.

Menterinya, Datuk Dr. Mohamad Khairuddin Aman menegaskan berhubung perkara berkenaan ketika persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Jelas beliau, pihaknya sedang berusaha mempelbagaikan produk nilai tambah makanan dan meneruskan kajian kebaikan serta manfaat sawit kepada dunia. 

“Pada masa sama, kementerian sedang meneroka peluang buluh sebagai satu lagi komoditi masa depan di samping pelbagai lagi produk komoditi lain,” katanya.

Baca : Industri buluh ada peluang besar

Bekas Menteri Industri Utama, Teresa Kok sebelum ini pernah mencadangkan untuk menjadikan tanaman buluh sebagai tambahan alternatif kepada sawit.

Sementara itu, antara usaha dilakukan untuk membangunkan industri buluh adalah dengan menyenaraikan tanaman berkenaan sebagai salah satu tanaman hutan yang boleh dikomersialkan. 

Usaha itu dilakukan menerusi Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) bersama-sama dengan lapan lagi spesies tanaman hutan iaitu getah TLC, Akasia, Kelampayan/Laran, Batai, Jati, Binuang, khaya dan Sentang.

Dalam pada itu, Mohamad Khairuddin mendedahkan saiz pasaran buluh global secara umumnya adalah besar iaitu berjumlah US$68.80 bilion pada 2018.

“Kementerian melalui Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia kini dalam proses menghasilkan Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh Malaysia 2021-2030.

“Buluh boleh digunakan untuk menghasilkan papan lapis, perabot, makanan, fabrik, kraftangan, kutleri, pembinaan, eko-pelancongan dan bahan bakar seperti pembuatan arang dan pellet," katanya.

Tambah beliau, buluh juga mampu menjana pendapatan bersih kira-kira RM36,000 sehektar. - DagangNews.com