Bumi Armada catat peningkatan untung bersih sebanyak 19.7% kepada RM240.5 juta pada 1QFY24 | DagangNews Skip to main content

Bumi Armada catat peningkatan untung bersih sebanyak 19.7% kepada RM240.5 juta pada 1QFY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Mei - Bumi Armada Bhd mencatatkan peningkatan untung bersih pada suku pertama berakhir 31 Mac 2024 (1QFY24) sebanyak 19.7% kepada RM240.5 juta berbanding RM201 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

 

Kumpulan itu berkata, peningkatan itu disumbangkan hasil lebih tinggi daripada unit pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) Armada Olombendo dan FPSO Armada Kraken. 

 

Pendapatan kumpulan bagi suku tersebut meningkat sebanyak 16.8% kepada RM635.54 juta berbanding RM544 juta setahun yang lalu.

 

"Ia disebabkan oleh pendapatan lebih tinggi dari FPSO Armada Olombendo hasil daripada penyelesaian isu tertunggak dengan penyewa yang termasuk peningkatan yuran operasi berdasarkan perjanjian sewa.

 

"Selain itu a uga didorong pendapatan yang lebih tinggi daripada FPSO Armada Kraken akibat ketersediaan kapal yang lebih tinggi," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kumpulan itu berkata, aliran tunai operasi mereka kekal kukuh dengan RM315.3 juta dijana sepanjang suku tersebut dan ia membantu meningkatkan simpanan tunai.

 

Katanya, buku pesanan pada akhir suku pertama 2024 berjumlah RM9.7 bilion, dengan sambungan pilihan tambahan sehingga RM10.3 bilion.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai  Eksekutifnya, Gary Christenson berkata, kumpulan itu bermula dengan baik pada tahun ini dan pihaknya berbesar hati kerana Bumi Armada beroperasi dengan baik.

 

"Kami terus berwaspada dalam memastikan operasi yang stabil bagi kapal-kapal kami yang mendorong prestasi kewangan kumpulan ini.

 

"Kumpulan ini juga akan terus mencari projek-projek dan peluang baharu sambil mengekalkan fokus terhadap keselamatan, amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), kecemerlangan operasi serta disiplin kewangan," katanya. - DagangNews.com