Bumi Armada perlu aset baharu bagi memacu pertumbuhan, kata Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Bumi Armada perlu aset baharu bagi memacu pertumbuhan, kata Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Jun - Pendapatan suku pertama tahun kewangan 2024 (1QFY24) Bumi Armada Bhd berada dalam jangkaan tetapi ia mungkin memerlukan aset baharu untuk memacu pertumbuhan kumpulan.

 

Kenanga Research berkata, pada 25 April, unit pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) Armada Kraken akan beralih kepada kontrak lanjutan apabila piagam firmanya dengan Enquest berakhir, menghasilkan asas pendapatan berulang yang lebih rendah daripada aset ini.

 

Katanya,FPSO Sterling 5 masih menunggu penerimaan akhir daripada pelanggan, jadi aset kekal pada kadar siap sedia, yang lebih rendah daripada kadar kontrak penuh.

 

Firma penyelidikan itu berkata, sukuk RM1.5 bilion kumpulan yang matang pada September 2024 berkemungkinan dibiayai semula dengan kemudahan AS$400 juta yang kadarnya masih belum ditentukan.

 

"Walaupun Bumi Armada berada dalam kedudukan penggearan bersih yang lebih baik dan mempunyai keterlihatan pendapatan jangka panjang daripada buku pesanannya yang besar, selepas pemulihan Kraken, pendapatan kumpulan itu akan mendatar jika tiada sebarang projek baharu," katanya dalam satu nota kajian.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Bumi Armada catat peningkatan untung bersih sebanyak 19.7% kepada RM240.5 juta pada 1QFY24

 

Untung bersih teras suku pertama Bumi Armada sebanyak RM196.8 juta (tidak termasuk kerugian pertukaran asing yang belum direalisasi dan keuntungan daripada semakan piagam FPSO Olembendo) memenuhi jangkaan Kennaga Research pada 25% daripada ramalan setahun penuh dan anggaran konsensus setahun penuh .

 

Kira-kira AS$26 juta pembayaran balik hutang telah dilakukan pada suku pertama, menjadikan hutang terkumpul kumpulan itu kepada RM4.2 bilion.

 

Kenanga Research berkata, hasil kumpulan melonjak 17% disokong oleh hasil yang lebih tinggi daripada FPSO Olembendo selepas semakan kadar menaik sumbangan FPSO Kraken yang lebih tinggi disebabkan ketersediaan kapal yang lebih baik.

 

Bagaimanapun, keuntungan terasnya tidak berubah apabila sumbangan syarikat kerjasama menjadi lemah disebabkan kos permulaan daripada Sterling 5 (yang masih menunggu penerimaan akhir oleh pelanggan).

 

"Kami mengekalkan penarafan 'market perform' dengan harga sasaran (TP) 58 sen sesaham. - DagangNews.com