Bursa Malaysia lancar kempen bantu pesakit kanser payudara B40 | DagangNews Skip to main content

Bursa Malaysia lancar kempen bantu pesakit kanser payudara B40

Pink Oktober

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 22 Okt. - Bursa Malaysia melancarkan Kempen Kutipan Dana Kanser Payudara sebagai insiatif untuk mengumpulkan dana bagi membantu pesakit kanser yang kurang berkemampuan dalam kumpulan B40 di negara ini.

Bursa Malaysia dalam satu kenyataan berkata, kempen itu digerakkan bersempena dengan bulan Kesedaran Kanser Payudara atau Pink Oktober.

"Setiap akaun CDS (akaun saham) yang dibuka oleh pelabur wanita, Bursa Malaysia berjanji akan menyumbang RM10 kepada Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM).

"Inisiatif ini juga menjadi sebahagian daripada usaha Bursa Malaysia dalam mempromosikan kesaksamaan jantina di pasaran saham," jelas Bursa Malaysia.

Pelabur wanita di Malaysia hanya merangkumi 31% daripada keseluruhan pelabur di pasaran modal.

Susulan itu, jurang pelaburan mengikut jantina ini menunjukkan keterbatasan golongan wanita untuk melakukan pelaburan yang boleh menyumbang kepada kebebasan kewangan yang lebih baik.

Antara pertuhan yang turut serta dalam kempen berkenaan adalah AmInvestment Bank Berhad, Hong Leong Investment Bank Berhad, JF APEX Securities Berhad, KAF Securities Sdn. Bhd., Malacca Securities Sdn. Bhd. dan RHB Investment Bank Berhad.

Kesemua pertubuhan itu menawarkan pelbagai promosi seperti diskaun dan pendidikan maya secara percuma bagi mendorong lebih ramai golongan wanita memulakan pelaburan.

 

Muhamad Umar Swift
Muhamad Umar Swift

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, kesihatan dan kesejahteraan pihak berkepentingannya akan membantu ke arah kelangsungan jangka panjang dalam pasaran pelaburan.

"Kami akan terus berkolaborasi dengan broker kami untuk memastikan usaha bersepadu oleh pasaran modal dibuat untuk mendorong kesedaran mengenai tujuan penting ini.

"Pencegahan dan pengesanan awal kini lebih penting terutamanya bagi mereka yang kurang berkemampuan," tambah beliau.

Kempen Kesedaran Kanser Payudara berlangsung hingga 18 Disember 2020. - DagangNews.com