Bursa Malaysia, SSM jalin kerjasama tingkatkan sokongan untuk komuniti PKS | DagangNews Skip to main content

Bursa Malaysia, SSM jalin kerjasama tingkatkan sokongan untuk komuniti PKS

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Nov - Bursa Malaysia Berhad dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) memetrai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi melaksanakan kerjasama tiga tahun dengan tiga inisiatif teras untuk memanfaatkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam ekonomi Malaysia.

 

Rangka kerja MoU itu termasuk meneroka peluang komersial secara bersama bagi menyokong aspirasi pertumbuhan ekonomi digital korporat Malaysia, seperti yang dipandu oleh Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital). 

 

Perkongsian data antara Bursa Malaysia dan SSM untuk analisis mendalam yang memberikan pandangan membuat keputusan strategik yang lebih besar untuk perniagaan seperti yang digalakkan oleh Dasar Perkongsian Data Negara dan memacu agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) untuk ekosistem perniagaan Malaysia dengan program yang memberi impak.

 

Kerjasama baharu itu bertujuan memanfaatkan potensi gabungan data Bursa Malaysia dan SSM untuk membina ekosistem data pertama seumpamanya yang menyokong agenda pembangunan sosioekonomi Malaysia.

 

Platform itu terdiri daripada set data korporat Malaysia daripada PKS dan syarikat tersenarai awam akan memudahkan pembangunan analisis serta penyelesaian bermakna yang mendalam untuk komuniti penjanaan dana dalam pasaran modal serta komuniti perniagaan pada umumnya.

 

Bursa Malaysia dan SSM akan bekerjasama bagi menggalakkan korporat Malaysia menambah baik pendedahan dan akses kepada modal melalui amalan ESG dalam industri masing-masing.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, kerjasama itu adalah bagi menjadi Bursa Malaysia sebagai rakan kongsi yang dipercayai bagi meningkatkan kapasiti data gabungan serta peluang dalam memperkasakan komuniti perniagaan tempatan melalui perkongsian data dan maklumat.

 

"Selain membina sistem data berpusat yang menghubungkan perniagaan dengan agensi pembiayaan, kerjasama ini akan membolehkan perniagaan yang lebih kecil belajar daripada amalan terbaik daripada syarikat yang lebih besar," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Nor Azimah Abdul Aziz berkata, mereka mempunyai bank data komprehensif yang terdiri daripada butiran mengenai maklumat berkaitan profil syarikat dan entiti perniagaan lain, modal saham, pengarah, pegawai, pemegang saham, caj dan maklumat kewangan.

 

"Melalui MoU ini, maklumat yang diperoleh daripada kerjasama itu akan dianalisis dengan lebih lanjut untuk mewujudkan ekosistem data yang holistik bagi menyokong keseluruhan agenda pembangunan sosio-ekonomi Malaysia, terutamanya PKS yang terdiri daripada 99% entiti korporat dan perniagaan dalam pendaftaran kami," katanya. - DagangNews.com