Bursa Malaysia umum pindaan baharu rangka kerja penyenaraian daripada Pasaran LEAP kepada ACE | DagangNews Skip to main content

Bursa Malaysia umum pindaan baharu rangka kerja penyenaraian daripada Pasaran LEAP kepada ACE

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Mac - Bursa Malaysia Securities Berhad membuat pindaan kepada keperluan penyenaraian Pasaran ACE berhubung pemindahan rangka kerja penyenaraian daripada Pasaran LEAP.

 

Di bawah Rangka Kerja Pemindahan Pasaran LEAP baharu, syarikat tersenarai awam mesti telah disenaraikan di Pasaran LEAP selama sekurang-kurangnya dua tahun untuk dinilai dan dianggap sesuai bagi penyenaraian di Pasaran ACE oleh penaja.

 

Bursa Malaysia berkata, permohonan pemindahan mesti menunjukkan bahawa terdapat mekanisme penemuan harga yang jelas dan telus.

 

Katanya, ia adalah untuk menunjukkan kewajaran harga terbitannya menurut pemindahannya ke Pasaran ACE.

 

Selain itu, pemohon pemindahan mesti mengekalkan perkhidmatan penaja selama dua tahun kewangan penuh selepas kemasukannya ke Pasaran ACE.

 

"Rangka kerja ini adalah untuk membimbing dan menasihati pemohon pemindahan tentang pematuhan berterusannya dengan keperluan penyenaraian ACE dan keperluan kawal selia lain selepas penyenaraian," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Bursa Malaysia berkata, keperluan penyenaraian Pasaran ACE yang dipertingkatkan juga membolehkan penasihat yang diluluskan dan layak memainkan peranan dalam Pasaran ACE.

 

Berdasarkan rangka kerja itu, penasihat diluluskan yang baru diperkenalkan, penasihat diluluskan yang telah melengkapkan tiga penyenaraian awal di Pasaran LEAP dengan sekurang-kurangnya seorang yang layak boleh mendapatkan kelulusan Bursa Malaysia untuk bertindak sebagai penasihat yang diiktiraf.

 

"Dengan pengembangan kumpulan penaja/penasihat dalam Pasaran ACE untuk memasukkan penasihat diluluskan yang diiktiraf, pemohon pemindahan boleh memilih untuk terus bekerja dengan penasihatnya yang diluluskan, atau mendapatkan perkhidmatan mana-mana penaja/penasihat sedia ada lain daripada Pasaran ACE , dengan cara yang kos efektif dan cekap.

 

"Seterusnya, pengembangan itu akan mendorong pembangunan kapasiti penasihat yang diiktiraf diluluskan melalui pendedahan dan pengalaman yang diperoleh di Pasaran ACE," kata Bursa Malaysia.

 

Ketua Pegawai Kawal Selia Bursa Malaysia, Julian Hashim berkata, pindaan itu akan membuka peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mempunyai akses yang lebih besar kepada pasaran modal dan menyediakan pelan hala tuju yang lebih jelas untuk syarikat LEAP yang menyasarkan untuk disenaraikan di Pasaran ACE.

 

"PKS yang ditubuhkan di Pasaran LEAP kini boleh maju ke peringkat seterusnya pertumbuhan mereka dengan memanfaatkan ruang pelabur yang lebih luas di Pasaran ACE.

 

“Selain itu, rangka kerja penasihat yang diiktiraf akan meningkatkan dan menyediakan lebih banyak ruang untuk penyertaan profesional kewangan korporat dalam pasaran modal Malaysia,” tambahnya.

 

Sejak penubuhannya, syarikat yang tersenarai di Pasaran LEAP memperoleh sejumlah kira-kira RM231.2 juta melalui penyenaraian awal.

 

Pada 29 Mac 2023, permodalan pasaran keseluruhan pasaran LEAP berjumlah RM5.5 bilion, dengan 48 syarikat disenaraikan di Pasaran LEAP. - DagangNews.com