C4 Center minta PM tubuhkan Pasukan Petugas Khas siasat kes Azam Baki | DagangNews Skip to main content

C4 Center minta PM tubuhkan Pasukan Petugas Khas siasat kes Azam Baki

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 Jan - Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri untuk menubuhkan Pasukan Petugas Khas (STF) yang terdiri daripada individu bebas untuk menjalankan siasatan terhadap dakwaan salah laku Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

 

C4 Center berkata, siasatan itu perlu dilakukan secara telus dan hasil dapatan daripada STF itu perlu didedahkan kepada umum.

 

Pusat itu meminta agar satu jawatankuasa khas dibentuk bagi menjalankan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan mengenai penubuhan SPRM agar bebas daripada sebarang pengaruh badan eksekutif.

 

"Azam Baki juga perlu diberikan cuti sementara bagi membolehkan siasatan yang adil dijalankan tanpa sebarang pengaruh bagi memastikan kebenaran dakwaan terhadap dirinya.

 

"Kami juga menggesa agar Azam Baki menarik balik LOD (surat tuntutan) serta-merta terhadap aktivis pencegahan rasuah, Lalitha Kunaratnam yang mendedahkan maklumat kepentingan pegangan sahamnya dalam dua syarikat senaraian awam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, Lalitha menerusi akaun Twitternya mengesahkan telah menerima LOD daripada Azam yang mengemukakan surat bertarikh 6 Januari menerusi firma guaman Zain Megat dan Murad.

 

c4

 

Pendedahan yang dibuat serta respon Azam merupakan tamparan hebat terhadap kredibiliti SPRM yang rosak akibat akibat rasuah dan skandal jenayah melibatkan pegawainya sendiri.

 

Dalam satu sidang akhbar kelmarin, Azam menegaskan tohmahan ke atasnya sebagai satu penipuan besar pihak tertentu untuk memberi persepsi negatif yang direka untuk menjatuhkan reputasinya dan SPRM.

 

Sambil menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berkenaan, Azam berkata, beliau juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang mencemarkan reputasinya.

 

Sementara itu, C4 Center juga meminta satu jawatankuasa khas dibentuk bagi merombak Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) dan ahli panelnya selepas gagal menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik terhadap pendedahan yang dibuat pakar ekonomi, Prof. Dr. Edmund Terence Gomez. 

 

Katanya, perubahan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (WPA 2010) secara keseluruhannya gagal melindungi pemberi maklumat sejak mula diperkenalkan sejak sedekad lalu dengan penekanan khusus kepada Seksyen 4, Seksyen 6 (1), Seksyen 8 (1) dan (4) bersama Seksyen 11. - DagangNews.com