Cabaran perniagaan konvensional dalam era digital, Kenanga Research kekal penarafan 'underperform' terhadap Pos Malaysia | DagangNews Skip to main content

Cabaran perniagaan konvensional dalam era digital, Kenanga Research kekal penarafan 'underperform' terhadap Pos Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Mei - Kenanga Research mengekalkan penarafan 'underperform' terhadap Pos Malaysia Bhd dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak 33 sen sesaham kesan cabaran yang dihadapi oleh perniagaan mel konvensionalnya dalam era digital.

 

Katanya, kerugian bersih teras 1QFY24 kumpulan itu memnuhi jangkaan sebanyak 23% daripada ramalan kerugian bersih setahun penuh tetapi liputan penyelidikan tidak mencukupi untuk membentuk anggaran konsensus. 

 

Firma penyelidikan itu juga positif dengan pelupusan PNSL Bhd kepada SWA Shipping Sdn Bhd pada harga RM123.2 juta. PNSL terlibat dalam pengendalian kargo pukal dan pembawa simen khusus.

 

"Jualan kumpulan menerima rangsangan daripada perkhidmatan pos yang diberikan kepada agensi kerajaan, mengurangkan kelembapan dalam segmen beli-belah dalam talian.

 

"Sementara itu, jualan penerbangannya terus pulih disokong sektor pengangkutan udara yang berkembang pesat ditambah dengan penyambungan semula penerbangan sewa umrah (yang turut meningkatkan perkhidmatan katering dalam penerbangan). 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Pendapatan Pos Malaysia catat peningkatan pada 1QFY24, kerugian makin berkurang


"Walau bagaimanapun, jualan logistiknya telah terjejas oleh persekitaran perniagaan yang tidak menggalakkan. Secara keseluruhannya, kerugian bersih teras 1QFY24 kumpulan mengecil sebanyak 22%," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu kekal berhati-hati terhadap perniagaan mel konvensional Pos Malaysia yang masih bergelut untuk kekal relevan dalam era digital selain jumlah penghantarannya semakin berkurangan kerana berdepan persaingan sengit daripada J&T Express dan Ninja Van yang mengurangkan kadar secara agresif bagi mengembangkan pasaran. 

 

Katanya, pada masa sama, langkah-langkah pengurangan kosnya tidak mencukupi untuk mengatasi kelemahan hasil perniagaan terasnya.

 

"Walaupun terdapat usaha mewujudkan Pos Shop melalui pengubahsuaian kedai pos sedia ada dengan sasaran 40 cawangan baharu pada FY24, kami bimbang dengan tempoh tunggu hasil kedai untuk mencapai kecekapan operasi," katanya.- DagangNews.com