Cabaran persekitaran jejas MR DIY akibat kurang pemangkin, persaingan sengit – Affin Hwang | DagangNews Skip to main content

Cabaran persekitaran jejas MR DIY akibat kurang pemangkin, persaingan sengit – Affin Hwang

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 12 April - MR DIY berhadapan persekitaran lebih mencabar pada masa hadapan yang memperlahankan pertumbuhan marginal disebabkan kekurangan pemangkin dan persaingan semakin sengit.

 

Dalam nota bertarikh 11 April, Affin Hwang Investment Bank (Affin Hwang) berkata, bahagian pasaran dan kadar pertumbuhan pendapatan yang perlahan boleh menjadi petanda fasa pertumbuhan pesat kumpulan itu berkemungkinan tamat dan dijangka menghampiri fasa rombakan dalam kitaran perniagaan.

 

Menurut firma penyelidikan itu, hal tersebut didorong bahagian jualan produk ‘pembaikan rumah’ yang semakin berkurangan daripada jumlah portfolio produknya sepanjang  tahun kewangan 2022 (FY22) tanpa sebarang pemangkin jangka pendek seperti semasa pandemik.

 

Tambahnya, purata saiz bakul, iaitu bilangan produk yang dibeli pelanggan dalam satu transaksi, dikurangkan daripada RM29 pada FY21 kepada RM27.80 pada FY22.

 

“Kami juga melihat persaingan kepimpinan kos semakin meningkat daripada peruncit harga tetap yang semakin berkembang, jelas bahawa purata harga item tiket semasa MR DIY adalah sekitar RM6.

 

MR DIY merekodkan peningkatan 1% dalam pertumbuhan jualan kedai yang sama (SSSG) pada FY22 dan SSSG agak mendatar, pada asas suku ke suku (QoQ), memandangkan perubahan pada suku pertama hingga suku keempat tahun 2022 nampaknya telah membatalkan pertumbuhan suku sebelumnya, di mana 4QFY22 susut 6.7% berbading peningkatan 8.2% pada 4QFY21,” tambahnya.

 

Di samping itu, kecekapan kos dan pengangkutan lebih rendah mungkin sedikit mengimbangi kos operasi yang lebih tinggi, di mana gudang MR DIY yang dijangka siap pada 1QFY24 akan membantu kecekapan buruh, ditambah dengan isu kekurangan buruh yang mereda selepas pandemik.

 

Firma itu berkata, dengan perolehan global, skala ekonomi semakin meningkat dan kos pengangkutan lebih rendah (kecuali China) disebabkan dinamik bekalan dan permintaan diringankan, ini boleh mengurangkan kos operasi yang lebih tinggi, termasuk daripada perbelanjaan pentadbiran dan pekerja, pengiklanan, pemasaran dan promosi serta kos utiliti.

 

“Bagaimanapun, secara keseluruhan kami melihat margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) mendatar masuk ke FY23-24 dan mungkin ada peningkatan sekiranya perubahan terhadap format MR. DOLLAR menjadi kenyataan,” katanya.

 

Affin Hwang mengekalkan saranan ‘jual’ dengan harga sasaran (TP) diturunkan kepada RM1.53 sesaham daripada RM1.66.

 

Saham MR DIY pada sesi petang dibuka dengan penyusutan menyusut 2sen atau 1.2% kepada RM1.63 sesaham, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM15.38 bilion. -DagangNews.com