KUALA LUMPUR 24 Okt - Cadangan kerajaan menaikkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) daripada 6% kepada 8% merupakan langkah yang kurang tepat berbanding dengan sistem percukaian lain yang lebih efisien.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, meskipun kenaikan ini tidak melibatkan makanan dan minuman, harus difahami bahawa kenaikan itu akan memberi kesan berantai kepada semua aspek yang akan turut mendorong kenaikan kepada barang-barang asas.
"Ini kerana peniaga tidak akan menyerap kenaikan cukai dan kos pengeluaran mereka.
"Justeru, saya sekali lagi berpendirian bahawa sudah tiba masanya untuk memperkenalkan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang telah dimansuhkan pada tahun 2018 oleh Kerajaan Pakatan Harapan," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.
Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, GST terbukti jauh lebih cekap, telus dan adil berbanding SST.
Beliau berkata, ketika GST dihapuskan, negara hilang kira-kira RM20 bilion sehingga RM30 bilion setahun akibat 'black economy' kerana tidak dapat pantau mereka yang tidak membayar cukai.
"Kenaikan cukai SST sebanyak 2% ini juga hanya memberi hasil tambahan sebanyak RM3 bilion kepada negara.
"Malah firma audit antarabangsa, Deloitte meramalkan kenaikan 2% SST hanya mampu menambah pendapatan sekitar RM900 juta.
"Adakah ini berbaloi dengan kesan yang akan dihadapi oleh rakyat?," katanya. - DagangNews.com