Cadangan lupus FPSO Karapan Armada Sterling III bagi mengurangkan kadar penggearan Bumi Armada adalah tidak perlu, kata AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Cadangan lupus FPSO Karapan Armada Sterling III bagi mengurangkan kadar penggearan Bumi Armada adalah tidak perlu, kata AmInvestment

Karapan Armada Sterling III - Gambar/Armada Gema Nusantara
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Mac - Cadangan Bumi Armada Bhd untuk menjual kapal penyimpanan dan pemunggahan pengeluaran terapung (FPSO) Karapan Armada Sterling III (KAS III) bagi mengurangkan kadar penggearan kumpulan adalah tidak perlu.

 

AmInvestment Bank Research berkata, kedudukan penggearan bersih kumpulan itu sebelum ini berjaya mencatatkan pernurunan daripada 2.1x pada 1QFY21 kepada 0.65x pada 4QFY23. 

 

"Bagaimanapun, kami percaya bahawa pelupusan ini boleh membantu dalam menguruskan kedudukan aliran tunainya memandangkan jumlah liabiliti pembiayaan yang besar dalam tempoh terdekat," katanya.

 

Terdahulu, kumpulan itu menerusi PT Armada Gema Nusantara sedang menjalankan perbincangan dengan syarikat minyak dan gas nasional Indonesia, Pertamina bagi penjualan KAS III.

 

Kapal itu kini beroperasi di Madura, luar pesisir Indonesia untuk Husky CNOOC Madura Ltd. Kapal itu telah disewa pada harga AS$1.18 bilion bagi tempoh 10 tahun bermula 2017 dengan pilihan untuk pembaharuan tahunan sehingga lima tahun.

 

Difahamkan bahawa penjualan itu adalah bagi meningkatkan aliran tunai tambahan bagi memudahkan pembinaan unit baharu dan mungkin berlaku sama ada sebahagiannya melalui pelupusan oleh PT CakraPrima Satya atau sepenuhnya.

 

Berdasarkan perbelanjaan modal sebanyak AS$500 juta, kadar pulangan dalaman kasar (IRR) projek sebanyak 14.9%, 49% kepentingan bersekutu dan kos purata wajaran modal (WACC) sebanyak 6% dengan nilai terkini untuk KAS III yang boleh diagihkan kepada Bumi Armada pada RM681 juta.

 

"Kami menjangkakan kumpulan itu akan mencatat keuntungan jualan sekali sahaja sebanyak RM79 juta- 9% daripada keuntungan bersih FY24.

 

"Kehilangan sumbangan pendapatan kapal ini boleh mengurangkan sedikit keuntungan bersih teras kumpulan FY24 sebanyak 5%," kata AmInvestment.

 

Firma penyelidikan itu terus menyukai Bumi Armada berikutan tinjauan kenaikan harga pada subsektor FPSO dan percaya ini adalah tahun pelaksanaan dengan peningkatan berturut-turut dalam pendapatan teras mampan kumpulan serta kunci kira-kira yang semakin baik.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga wajar (FV) 68 sen sesaham," katanya.- DagangNews.com